Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu : Ibu bapa memainkan peranan besar dalam memastikan anak-anak dapat berjaya menamatkan sekurang-kurangnya 11 tahun pembelajaran peringkat sekolah rendah dan menengah.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Datuk Raisin Saidin berkata, ia bagi memastikan anak-anak mereka mampu memiliki sekurang-kurangnya sijil bagi mencari peluang pekerjaan selain menambah kemahiran.
Katanya, JPNS bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pengetua sekolag serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) telah mengadakan intervensi bagi mengenal pasti para pelajar yang tercicir bagi mengikuti peperiksaan khususnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Kita sebenarnya telah mula mengesan calon-calon SPM bermula dengan tingkatan empat sebenarnya. Kita menjejaki pelajar-pelajar yang mempunyai risiko untuk tercicir ataupun meninggalkan persekolahan.
“Kita cakna mereka, mendekati mereka dengan melawat ke rumah masing-masing, juga mengadakan sesi kaunseling, selain cuba mengenalpasti apa sebenarnya minat anak-anak murid ini.
“Saya yakin bahawa intervensi yang kita lakukan dari masa ke masa akan dapat meningkatkan lagi ataupun mengurangkan jumlah calon yang tidak hadir ke sekolah dan ini terbukti tahun lepas apabila jumlah itu semakin turun sebenarnya. Tahun lepas telah turun berbanding dengan tahun sebelum inilah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan SPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Rabu.
Raisin berkata, sistem pendidikan negara memerlukan anak-anak untuk menghabiskam sesi persekolahn wajib selama 11 tahun melibatkan enam tahun di sekolah rendah dan selebihnya di sekolah menengah.
“Kita risau kalau sekiranya anak-anak yang berada dalam sistem pendidikan kita, anak-anak murid ini mesti meninggalkan sekolah dengan sekurang-kurangnya memiliki sijil, supaya sijil nanti boleh mereka gunakan untuk mencari peluang yang lain.
“Sebab bila mendapat sijil ini dengan adanya beberapa mata pelajaran lain yang mereka lulus seperti matematik, sains ataupun geografi dan juga subjek seperti pendidikan Islam dan juga kemahiran, ada ruang untuk agensi-agensi lain untuk menyambut mereka ini dan diberikan kemahiran yang sesuai dengan minat anak-anak murid ini.
“Kita mengenalpasti bahawa selepas SPM ini, murid-murid akan terbahagi kepada dua sebenarnya. Satu, kumpulan murid-murid yang akan menyambung pengajian mereka ke IPTA dan juga ke tingkatan enam, matrikulasi , IPG dan sebagainya.
“Tapi ada kumpulan yang akan terus menceburkan diri di dalam bidang pekerjaan disebabkan oleh tuntutan kehidupan dan sebagainya,” katanya. – SABAH MEDIA