HomeUtamaTertuduh miliki senjata api dan pedang samurai, kes disebut semula 18 Jun

Tertuduh miliki senjata api dan pedang samurai, kes disebut semula 18 Jun

Read Time:1 Minute, 11 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Mahkamah Sesyen Tawau hari ini menetapkan 18 Jun 2025 sebagai tarikh sebutan semula bagi kes melibatkan Ardi Mat Tahir, 41, yang didakwa memiliki senjata api dan sebilah pedang samurai tanpa lesen.

Tertuduh berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. Ardi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Shearil Aizad Murnizam memohon tarikh sebutan semula dan memaklumkan bahawa kes ini adalah kesalahan tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, peguam bela tertuduh, Abdul Gani Zelika, membangkitkan isu keraguan pemilikan senjata dan memohon jaminan, dengan memaklumkan bahawa abang tertuduh sanggup menjadi penjamin.

Pihak pendakwaan membantah permohonan jaminan atas alasan kes melibatkan kepentingan awam dan keselamatan masyarakat, memandangkan senjata api ditemui di kediaman tertuduh.

Mahkamah memutuskan untuk membenarkan jaminan berjumlah RM15,000 bagi setiap dua pertuduhan tersebut dengan dua penjamin tempatan, tertakluk kepada beberapa syarat termasuk melaporkan diri dua kali sebulan di balai polis berhampiran dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Dalam kes berasingan di Mahkamah Majistret Tawau, Ardi mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki enam butir peluru tanpa kebenaran dan lesen sah, dalam serbuan di rumahnya di Taman Semarak, di sini.

Hakim Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman denda RM6,500 atau dua tahun penjara jika gagal membayar denda tersebut.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon diringankan hukuman atas alasan tiada rekod jenayah lampau.

Pendakwaan kes dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan (ASP) Jeffrey Kadison.

RELATED ARTICLES
Utama

Program “Selangkah Ke Menara Gading 2025 & SMJ Dron 2025” buka...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular