HomeUtamaLebih 100 kes kecurian telefon bimbit direkodkan di Kota Kinabalu tahun ini

Lebih 100 kes kecurian telefon bimbit direkodkan di Kota Kinabalu tahun ini

Read Time:1 Minute, 21 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Polis merekodkan lebih 100 kes kecurian telefon bimbit sejak awal tahun ini, kebanyakannya melibatkan premis perniagaan dan kompleks beli-belah sekitar bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata kebanyakan kes berlaku apabila pemilik telefon meninggalkan peranti mereka di atas meja atau ketika sedang melayan pelanggan.

“Kes seperti ini banyak berlaku di kedai makan dan premis jualan. Setakat ini, lebih 100 kes kecurian telefon bimbit telah dibuka,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Menurutnya, selain telefon bimbit, terdapat juga kes kecurian barangan keperluan harian seperti susu formula bayi, coklat dan minuman keras yang dicuri dari premis perniagaan tanpa disedari oleh penjual.

“Kebanyakan kes ini hanya disedari apabila pekerja melakukan semakan stok. Ada juga yang berjaya dikesan melalui rakaman televisyen litar tertutup (CCTV). Selain siasatan, kita turut membantu dengan menularkan rakaman kejadian bagi mengesan suspek,” katanya.

Tambah beliau, ramai suspek yang ditangkap tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan kebanyakannya terdiri daripada wanita. Barangan curi tersebut biasanya dijual semula.

“Setakat ini, tiada kes samun dilaporkan di Kota Kinabalu bagi tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Kasim turut menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada terhadap jenayah melibatkan kenderaan, termasuk kecurian motosikal dan telefon bimbit yang ditinggalkan dalam kenderaan.

“Kes kecurian motosikal berpunca daripada kecuaian seperti meninggalkan kunci pada motosikal. Begitu juga dengan kes telefon bimbit yang ditinggalkan dalam kereta yang tidak berkunci,” katanya.

Beliau menyeru orang ramai agar lebih berhati-hati dan meningkatkan kesedaran keselamatan diri serta harta benda.

“Pihak polis sentiasa menjalankan rondaan di seluruh kawasan Kota Kinabalu dan kita harap komuniti turut memberikan kerjasama untuk membanteras jenayah,” tambahnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua warga asing cuba lari dari polis ditahan positif dadah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular