Kota Kinabalu: Pelanjutan usia persaraan wajib penjawat awam kepada 65 tahun bakal menyumbang kepada angka pengangguran khususnya di negeri ini.
Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan berkata, cadangan tersebut sekiranya dilaksanakan kelak akan mengeruhkan situasi pasaran pekerjaan terutama di negeri ini yang sedang berhadapan dengan kadar pengangguran tertinggi tertinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.
“Sabah sedang berhadapan dengan isu pengangguran tertinggi sekitar 7.7 peratus meskipun secara positifnya angka penyertaan buruh di negeri ini merupakan kedua tertinggi selepas Selangor iaitu sebanyak 2.3 juta orang.
“Berdasarkan situasi itu, perlanjutan umur persaraan wajib kepada 65 tahun dilihat sebagai langkah ke belakang yang akan menyumbang kepada angka pengangguran di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat
Dalam pada itu Abqaree turut berkata, adalah lebih wajar bagi kerajaan mengekalkan status quo umur persaraan wajib dan memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti sektor perkhidmatan awam dengan menempatkan lebih ramai golongan muda yang secara umumnya lebih bertenaga dan mempunyai literasi teknologi yang tinggi berbanding golongan berusia lanjut.
“Adalah lebih wajar bagi kerajaan mengekalkan had umur bersara wajib sedia ada dan memberi fokus untuk meningkatkan produktiviti sektor awam dengan memberi lebih banyak tempat kepada golongan muda.
“Golongan muda secara umumnya lebih bertenaga dalam konteks fizikal dan mempunyai literasi teknologi yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan golongan yang telah lanjut usia,” katanya.