HomeUtamaMahkamah Bergerak sasar selesaikan isu dokumentasi penduduk pedalaman Kalabakan

Mahkamah Bergerak sasar selesaikan isu dokumentasi penduduk pedalaman Kalabakan

Read Time:1 Minute, 27 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KALABAKAN: Inisiatif Mahkamah Bergerak yang dilaksanakan di Parlimen Kalabakan dijangka memberikan impak besar dalam menyelesaikan pelbagai masalah berkaitan dokumentasi yang dihadapi oleh penduduk di kawasan pedalaman.

Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryadi Bandy berkata, program yang melibatkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan itu akan membuka kaunter khidmat nasihat dan penerangan secara terus kepada masyarakat setempat.

“Antara isu utama yang sering dibangkitkan di Kalabakan adalah masalah dokumentasi termasuk kelahiran, perkahwinan dan pengenalan diri.

“Melalui Mahkamah Bergerak ini, ketua-ketua masyarakat diberi peluang untuk memahami secara terus fungsi agensi-agensi kerajaan yang terlibat dan seterusnya menyampaikan maklumat itu kepada komuniti mereka,” katanya ketika ditemui media pada sesi Taklimat Program Mahkamah Bergerak Peringkat Parlimen Kalabakan, di sini semalam.

Menurut beliau, inisiatif ini penting khususnya bagi penduduk luar bandar yang sering terlepas daripada akses perkhidmatan asas kerana kedudukan geografi yang jauh dari bandar.

Setakat ini, Unit Mahkamah Bergerak telah menerima sebanyak 84 permohonan dan lebih ramai dijangka hadir ke program yang akan berlangsung esok (24 Mei) di Dewan Terbuka berdekatan Pejabat Daerah Kalabakan.

“Saya menyeru semua penduduk, khususnya yang menghadapi masalah dokumentasi, untuk hadir. Ini peluang keemasan, tak perlu lagi ke bandar, semua agensi sudah berkumpul di satu tempat. Jimat masa dan tenaga,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kes-kes seperti pelajar cemerlang yang tidak dapat melanjutkan pelajaran akibat ketiadaan dokumen sah bukan perkara terpencil, sebaliknya kerap berlaku di kawasan Kalabakan dan Tawau.

“Program ini dilakukan secara berkala dan kerajaan berharap masyarakat akan menyambut baik inisiatif ini. Namun yang paling penting adalah hebahan awal supaya penduduk tahu dan tidak melepaskan peluang,” tambah beliau.

Kalabakan menyaksikan pelaksanaan Mahkamah Bergerak buat kali ketiga, dan ia dijangka menjadi platform utama menyelesaikan masalah berakar umbi yang membelenggu penduduk pedalaman sejak sekian lama.

RELATED ARTICLES
Utama

Program “Selangkah Ke Menara Gading 2025 & SMJ Dron 2025” buka...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular