Kota Kinabalu : Seramai lebih 400 atlet muda Sabah berlepas ke enam destinasi berbeza seluruh negara bagi menyertai Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2025 dalam pelbagai acara sukan utama.

Majlis pelepasan rasmi telah disempurnakan Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Datuk Mohd Arif Sakaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Penolong Pengarah Perhubungan Jabatan Pendidikan Daerah (JPN) Sabah, Syapiei Mohamad, serta Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Datu Asrah Datuk Ambas, bersama pegawai-pegawai JPN, ibu bapa dan wakil PIBG.

Atlet-atlet Sabah akan bersaing dalam 12 jenis sukan iaitu Merentas Desa (Melaka); Akuatik (Johor); Bola Baling (WP Kuala Lumpur); Bola Tampar (Kedah); Boling Tenpin (WP Putrajaya); Catur (Selangor); Gimnastik (Kedah); Golf (Pulau Pinang); Ping Pong (Kelantan); Pelayaran (Pahang); Skuasy (Negeri Sembilan) dan Sofbol (Pahang).
Terdahulu, Arif turut memberi suntikan semangat kepada para atlet agar berjuang bersungguh-sungguh sambil menjaga disiplin dan nama baik negeri.
“Jadikan penyertaan ini sebagai peluang menimba pengalaman, menjulang prestasi dan mengharumkan nama Sabah di pentas kebangsaan,” katanya.
Pelepasan ini turut menyaksikan sokongan padu daripada semua pihak termasuk komuniti pendidikan dan ibu bapa, melambangkan komitmen berterusan terhadap pembangunan bakat sukan peringkat akar umbi negeri.
MSSM itu akan bermula hari ini sehingga 30 Mei depan.
Tahun lalu, Sabah muncul juara keseluruhan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2024 selepas meraih 23 pingat emas selain menyaksikan 18 rekod berjaya dipecahkan. –SABAH MEDIA