Nabawan : Seramai 5,238 pesawah yang berdaftar dibawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Keningau dan Nabawan menerima agihan bantuan khas berjumlah RM783,000.
Majlis penyerahan bantuan itu disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup sempena majlis penyerahan Bantuan Khas BERNAS dan Kempen Pendaftaran Skim Takaful Tanaman Padi (STTP) di sini.
Daripada jumlah bantuan itu, seramai 1,297 pesawah yang berdaftar dengan PPK Keningau menerima bantuan dengan nilai keseluruhan RM188,065.

Manakala seramai 4,031 pesawah lagi yang berdaftar dengan PPK Nabawan menerima bantuan dengan nilai keseluruhan RM584,495.
Arthur berkata, inisiatif itu mencerminkan penghargaan dan tekad Kerajaan untuk menjaga kebajikan serta kesejahteraan para pesawah disamping menjadi pembakar semangat agar para pesawah akan meningkatkan produktiviti hasil padi sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import beras.
Sementara itu, mengulas mengenak kempen pendaftaran Skim Takaful Tanaman Padi (STTP), Arthur berkata, beliau akan sentiasa memastikan masyarakat di kawasan berkenaan tidak ketinggalan atau tercicir daripada menerima bantuan dan perhatian daripada Kerajaan Persekutuan.

Katanya, inisiatif yang dibawa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui Agrobank bertujuan melindungi pesawah individu yang berdaftar di seluruh negara daripada bencana alam yang boleh menjejaskan pengeluaran padi.
Menurutnya lagi, STTP merupakan inisiatif untuk memberi pelindungan dan bantuan tambahan kepada pesawah untuk mengurangkan kerugian pesawah sekiranya berlakunya bencana ataupun serangan serangga perosak.
“STTP merupakan satu inisiatif progresif yang bukan sahaja memberikan perlindungan kepada pesawah daripada kerugian akibat bencana alam atau penyakit tanaman, tetapi juga memperkukuh keyakinan mereka untuk terus mengusahakan sawah dengan lebih cekap dan berdaya tahan,” katanya.
Dalam pada itu, Arthur turut menyeru dan menggesa agar para pesawah untuk segera berdaftar di bawah STTP agar tidak ketinggalan daripada mendapatkan perlindungan tersebut.
Jelasnya lagi dalam tempoh ini, kadar caruman STPP akan ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan.
Beliau percaya dengan adanya pelbagai inisiatif yang dibawa serta penglibatan aktif para pesawah, tahap sara diri (SSR) padi beras di Sabah akan dapat ditingkatkan sekali gus menyumbang kepada keterjaminan makanan negara secara menyeluruh. – SABAH MEDIA