Kota Kinabalu : Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) akan terus memberi sokongan terhadap penganjuran aktiviti atau program yang dilaksanakan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh Sabah khususnya dalam aspek pembangunan pendidikan

Pengerusinya Datuk Mohd Arif Sakaran berkata, PIBG berperanan besar sebagai rakan strategik dalam mencorak hala tuju pendidikan anak-anak selain menjadi platform utama bagi memperkukuh kerjasama antara sekolah dan komuniti.
Selain itu katanya, PIBG juga dapat membantu dan menggalakkan murid-murid untuk hadir ke sekolah bagi mengurangkan keciciran.
“Saya yakin Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya telah menunjukkan usaha gigih dalam memastikan murid-murid mendapat pendidikan yang berkualiti meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran geografi dan logistik.
“Ini bukan usaha kecil, dan saya ingin merakamkan penghargaan kepada barisan pentadbir, guru-guru, dan ahli PIBG yang sentiasa berkorban masa dan tenaga demi anak-anak kita.
“Sudah tentu harapan saya agar sekolah ini dapat meningkat dari segi aspek pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PIBG kali ke-14 SK Pulau Gaya di sini pada Ahad.
Arif berkata, ibu bapa kini tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada guru untuk membentuk sahsiah dan kecemerlangan pelajar.
Namun katanya, ibu bapa mesti turut sama memainkan peranan aktif dalam menyokong pembelajaran anak-anak, baik di rumah mahupun melalui penglibatan dalam program-program sekolah.
“Kerjasama yang erat ini akan melahirkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan menyemai semangat kepunyaan bersama terhadap kejayaan sekolah.
“Saya menyeru agar kita semua terus mendukung inisiatif yang dilaksanakan oleh sekolah termasuk program literasi dan numerasi, pengukuhan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), serta amalan nilai-nilai murni,” katanya.
Terdahulu, seramai lebih 700 ibu bapa hadir pada mesyuarat itu yang membuktikan komitmen luar biasa terhadap kemajuan pendidikan anak-anak. – SABAH MEDIA