KUALA LUMPUR, Malaysia menggariskan visi jangka panjang ASEAN ke arah komuniti serantau yang lebih inklusif, inovatif dan berdaya saing digital, ketika Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Utama Haji Mohamad Hasan, menyampaikan ucapan pembukaan pada Mesyuarat Majlis Penyelaras ASEAN (ACC) ke-36 sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di ibu negara hari ini.
Dalam ucapannya, beliau menyifatkan mesyuarat kali ini sebagai peluang penting untuk menilai pencapaian ASEAN di bawah kerangka “ASEAN 2025: Forging Ahead Together”, sebelum memasuki fasa baharu melalui “ASEAN 2045: Our Shared Future”.
“Kemajuan pesat dalam teknologi digital – terutamanya dalam kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum – memberi impak besar terhadap hala tuju rantau ini. ASEAN tidak boleh ketinggalan dalam perlumbaan digital ini,” tegas beliau.
Malaysia, selaku tuan rumah, turut menyatakan komitmen untuk memanfaatkan kemajuan dalam sains, teknologi dan inovasi, serta transformasi digital demi meningkatkan daya saing rantau ini. Beliau mengingatkan bahawa pendekatan inklusif harus diutamakan bagi memastikan tiada pihak yang tercicir dalam arus pembangunan teknologi.
Antara agenda utama mesyuarat termasuk menilai pelaksanaan keputusan Sidang Kemuncak ASEAN yang lalu di Vientiane, perkembangan permohonan keahlian penuh Timor-Leste, serta laporan-laporan penting lain berkaitan masa depan ASEAN.
Menjelang Sidang Kemuncak penuh esok, ucapan Menteri Luar turut mengangkat tema perpaduan sebagai asas kekuatan ASEAN dalam menghadapi cabaran global.
“Sejarah telah membuktikan bahawa ASEAN yang bersatu dan berazam mampu membawa peluang luar biasa kepada rakyatnya. Kita mesti terus mara dalam kesepaduan, khususnya dalam dunia yang semakin kompleks dan terfragmentasi,” katanya.
Di Akhir ucapannya, Mohamad turut menyeru kepada semua negara anggota untuk terus berpegang pada semangat kerjasama, kepekaan terhadap cabaran masa depan dan komitmen kolektif terhadap visi ASEAN 2045.
Mesyuarat kemudiannya diteruskan dalam sesi tertutup selepas media diminta beredar dari dewan persidangan.