HomeUtamaPRBS mohon sokongan KePKAS anjur Festival Kebudayaan Rungus Sabah ke-7

PRBS mohon sokongan KePKAS anjur Festival Kebudayaan Rungus Sabah ke-7

Read Time:1 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU: Pertubuhan Rungus Bersatu Sabah (PRBS) memohon sokongan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) bagi penganjuran Festival Kebudayaan Rungus Sabah ke-7 yang dijadual berlangsung pada 3 hingga 5 Julai ini.

Presiden PRBS, OKK Makinsos Nawai bersama delegasi pertubuhan itu mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri KePKAS, Datuk Seri Christina Liew di pejabatnya di Wisma Tun Fuad Stephens, baru-baru ini.

“PRBS merupakan antara pertubuhan pribumi yang aktif di Sabah. Kementerian akan mempertimbangkan permohonan bantuan tersebut berdasarkan kemampuan semasa,” kata Christina.

Beliau turut dijemput merasmikan majlis pembukaan festival yang dijadual diadakan pada 3 Julai di Dewan Kebudayaan Rungus Sabah, Kota Marudu.

Festival itu dianjurkan oleh PRBS dengan kerjasama Pejabat Daerah Kota Marudu dan Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), agensi di bawah KePKAS.

PRBS didaftarkan secara rasmi dengan LKNS sejak penubuhannya pada 24 Ogos 2015.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dijangka hadir menyempurnakan majlis penutupan rasmi pada 5 Julai.

Makinsos dalam taklimatnya kepada menteri memaklumkan festival tahun ini melibatkan penyertaan komuniti Rungus dari lima daerah dan satu subdaerah iaitu Kudat, Matunggong, Kota Marudu, Pitas, Paitan dan Pulau Banggi.

Antara acara utama yang dijangka menarik perhatian ialah pertandingan tarian tradisi Mongigol Sumundai, pertandingan Tapai terbaik, penciptaan lagu tradisional Rungus dan pelbagai acara sukan tradisi.

Pertandingan Mongigol Sumundai akan melibatkan empat kategori iaitu dewasa, belia, veteran dan terbuka.

“Pertandingan ratu cantik atau Gimpuhut Tinongkupan juga dibuka kepada penyertaan etnik lain seperti Tobilung, Kimaragang, Tatana, Lundayeh dan Bajau Sama.

“Sebagai pengisian tambahan, festival turut menampilkan persembahan kebudayaan daripada komuniti Rungus dan etnik lain sebagai simbol kepelbagaian budaya di Sabah,” katanya.

Lima jenis sukan tradisi akan dipertandingkan iaitu Monokon (membaling lembing), Monopuk (meniup sumpit), Miahaba (gusti tangan), Tubau (gasing piring) dan Mingranggou (berjalan atas galah buluh).

Turut hadir semasa kunjungan hormat itu ialah Timbalan Presiden PRBS, Rico Ongikal; Ketua Penerangan, Sopiun Manggang; Setiausaha Eksekutif, Vianna Makinsos; Ahli Jawatankuasa (Adat dan Agama), Juanis Mansarading; Ahli Jawatankuasa merangkap Ketua Wanita, Lily Masuin; Timbalan Pengurus Besar LKNS, Flora Iban; dan Pegawai Bahagian Pengukuhan LKNS, Nora Martin.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua warga asing cuba lari dari polis ditahan positif dadah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular