HomeUtamaSabah perkenal dasar baharu perolehan khidmat audit dan kewangan

Sabah perkenal dasar baharu perolehan khidmat audit dan kewangan

Read Time:1 Minute, 33 Second

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah memperkenalkan dasar baharu bagi mengukuhkan penyertaan ekonomi tempatan dalam perolehan perkhidmatan audit dan kewangan oleh Badan-Badan Berkanun Negeri (BBN) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, langkah itu mengutamakan libat urus firma perakaunan yang berpangkalan di Sabah bagi mengekalkan nilai ekonomi dalam negeri.

Katanya, ia juga merupakan satu langkah penting dalam komitmen negeri untuk memperkasakan profesional tempatan dan meningkatkan daya saing sektor perakaunan Sabah.

“Dasar ini bukan sekadar mengenai perolehan kerana ia adalah mengenai memastikan peluang untuk rakyat Sabah. Kita mahu graduan perakaunan muda kita berjaya di negeri sendiri, dan pertumbuhan ekonomi kita dipacu oleh kepakaran tempatan.

“Kita memberi mesej yang jelas iaitu Sabah bersedia untuk memupuk dan membangunkan golongan profesional, terutamanya dalam bidang seperti perakaunan dan kewangan, yang penting untuk tadbir urus yang baik dan pembangunan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas menerima kunjungan hormat Persatuan Akauntan Profesional Sabah (SAPA) di pejabatnya pada Selasa.

Masidi berkata, di bawah garis panduan baharu ini, semua kontrak perkhidmatan audit dan kewangan bernilai bawah RM50,000 hendaklah dianugerahkan secara eksklusif kepada firma berpangkalan di Sabah yang berdaftar dengan SAPA.

Katanya, keutamaan masih perlu diberikan kepada firma tempatan bagi kontrak melebihi RM50,000, dengan pengecualian terhad yang dibenarkan melalui justifikasi bertulis kepada kementerian.

Dalam kunjungan hormat itu, SAPA merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas inisiatif ini.

Presiden SAPA, Datuk Tan Kok Liang berkata, pihaknya percaya langkah itu akan meningkatkan peluang pekerjaan dan latihan bagi profesional tempatan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Menteri dan Kerajaan Sabah atas dasar yang berpandangan jauh ini.

“Ia mewakili satu perubahan penting ke arah pembangunan inklusif dan menunjukkan komitmen tulen terhadap masa depan ekosistem profesional di Sabah,” katanya.

Masidi turut menyampaikan sijil keahlian kepada kumpulan pertama 15 ahli baharu SAPA, melambangkan sokongan kerajaan terhadap pembangunan komuniti perakaunan yang kukuh dan profesional di Sabah. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki terlepas hukuman mati, digantikan dengan penjara seumur hidup

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular