Kota Kinabalu: Semua pihak termasuk sektor kerajaan, korporat serta swasta perlu terus membantu golongan kanak-kanak istimewa dan Autisme agar tidak terpinggir dari arus pembangunan sosial.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Datuk Zainudin Aman berkata dengan bantuan yang dihulurkan sekurang-kurangnya dapat memberi kegembiraan, sekali gus meningkatkan kualiti hidup golongan berkenaan.
“Saya ingin menyeru agar kita semua baik individu mahupun organisasi sentiasa mencari ruang untuk menyumbang, tidak kira dalam bentuk masa, tenaga, kepakaran mahupun dana bagi meningkatkan kualiti hidup golongan istimewa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Khidmat Masyarakat (CSR) sempena Minggu Setiausaha Perkhidmatan Awam Negeri Sabah Tahun 2025 di Taman Kanak-Kanak Kurang Upaya Sembulan dan Pusat Autisme Sabah, di sini pada Selasa.
Teks ucapannya disampaikan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri, Aidah Awang.
Hadir sama, Pengarah Institut Latihan Sektor Awam Negeri, Datin Dr. Cleopatra @ Claire Asing, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am, Jais Asri, Pengerusi Penganjur Program Khidmat Masyarakat, Zarina Mustapha serta Pengerusi Persatuan Setiausaha Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Ponisah Mohamad.

Dalam ucapannya, Zainudin berkata, objektif utama program khidmat masyarakat itu adalah untuk membina kesedaran, mewujudkan sokongan masyarakat serta menyediakan platform inklusif bagi golongan terbabit.
“Pada hari ini, kita berkumpul dalam suasana yang penuh kasih sayang dan dalam masa yang sama menunjukkan keprihatinan kita sebagai warga perkhidmatan awam.
“Program yang nampak seperti usaha kecil tetapi sangat bermakna itu dapat membina jambatan kefahaman empati dan sokongan terhadap anak-anak istimewa yang unik.
“Aktiviti yang dirancang seperti menyalurkan sumbangan bantuan peralatan dan kelengkapan sekolah, gotong-royong, dan mural painting bukan sahaja memberi manfaat kepada anak-anak ini, malah mendidik masyarakat agar lebih memahami cabaran yang mereka hadapi,” katanya.
Selain itu, program seumpama juga membantu memperkasa golongan kanak-kanak autisme dan kelainan upaya melalui pendekatan pendidikan, terapi dan interaksi sosial yang holistik.
“Melalui program ini juga, para pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam akan dapat membina nilai kepimpinan berteraskan belas ihsan serta mewujudkan budaya organisasi yang lebih inklusif dan penyayang.
“Saya percaya bahawa nilai empati dan tanggungjawab sosial bukan sekadar slogan, tetapi perlu diterjemahkan melalui tindakan dan inisiatif yang mampan seperti ini,” katanya.
Beliau turut berharap program itu menjadi pencetus kepada lebih banyak inisiatif yang melibatkan pelbagai pihak dalam menyokong perkembangan kanak-kanak autisme dan kurang upaya di negeri ini.