HomeUtamaPesona ‘Malindon’, pakaian tradisi Murut Tahol julung kali diperkenal di pentas UNK

Pesona ‘Malindon’, pakaian tradisi Murut Tahol julung kali diperkenal di pentas UNK

Read Time:2 Minute, 55 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Tampil serba hitam, Velintinah Marcus mencuri perhatian dengan ‘Malindon’, pakaian tradisi Murut Tahol yang julung kali diperkenalkan di pentas Unduk Ngadau Kaamatan (UNK).

Velintinah Marcus

Berbeza daripada pakaian tradisi Murut yang lazimnya dihiasi manik, rekaan ‘Malindon’ tampil lebih polos namun mempunyai keistimewaannya tersendiri.

“Malindon bermaksud ‘kain hitam’ dan dipakai semasa “ilau”, iaitu upacara atau tarian tradisional masyarakat Murut.

“Rekaannya terdiri daripada dua bahagian utama iaitu ‘Ansirok/Sirokon’ sebagai bahagian atas, dan bahagian bawah dipanggil ‘Tapi Malindon’,” kata Velintinah, finalis yang mewakili Daerah Kecil Pagalungan, ketika ditemui semasa sesi pendaftaran UNK di Hotel Hilton baru-baru ini.

Velintinah yang berasal dari Kampung Tataluan Sapulut, Nabawan, berharap dapat memperkenalkan keunikan warisan budaya masyarakat Murut Tahol, salah satu etnik yang mendiami kawasan pedalaman Sabah seperti Tenom, Nabawan, Kemabong dan Pensiangan.

Sebelum terciptanya ‘Malindon’, pakaian yang digunakan ialah ‘Puputul’ iaitu sejenis kulit kayu. Namun evolusi budaya dan interaksi sosial melahirkan bentuk pemakaian yang lebih tersusun dan sarat makna seperti ‘Pinongkoloh’ yang lebih dikenali hari ini.

“Sebagai seorang Murut Tahol, saya amat bersyukur dapat memperkenalkan ‘Malindon’ buat julung kalinya di pentas UNK,” katanya, yang fasih bertutur dalam beberapa bahasa termasuklah Murut Tahol dan bahasa Perancis.

Tambah Velintinah, aksesori yang digunakan dalam pemakaian ‘Malindon’ turut menggambarkan kreativiti masyarakat Murut Tahol dan hubungan mendalam mereka dengan alam sekitar.

“Antara aksesori yang menjadi ‘nadi utama’ pakaian tradisi ini ialah ‘kimo’, iaitu gelang kayu di tangan dan kaki yang diperbuat daripada akar kayu belian. Ia diraut dan dilubangkan secara manual, dan proses pembuatannya mengambil masa kerana serat kayu belian sangat keras.

“Selain itu, terdapat juga ‘sisingat kelapa’ yang dipakai di telinga; hiasan leher seperti ‘sisihot vungkas’; serta hiasan pinggang seperti ‘pipirot linggit’ (tali pinggang duit) dan ‘lumpirot urip’ (tali pinggang siput). Bahagian kepala pula dihiasi dengan ‘salupai’ dan ‘sinikot’,” jelasnya.

Velintinah akan bersaing bersama 50 lagi peserta dalam pertandingan akhir Unduk Ngadau peringkat Kebangsaan 2025 yang bakal berlangsung di Hongkod Koisaan, Penampang pada 31 Mei ini.

Menurutnya, keputusan untuk menyertai pertandingan ini dibuat selepas melalui tempoh pertimbangan, kerjasama dengan pengkaji pakaian tradisi, dan usaha memahami akar budaya bangsanya sendiri.
“Saya mengambil masa beberapa minggu untuk membuat keputusan ini kerana saya ingin memastikan saya benar-benar bersedia dari semua aspek.

“Saya terdorong untuk menyertai pertandingan Unduk Ngadau kerana ingin menghargai serta melestarikan warisan budaya masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR), khususnya melalui simbolik kisah Huminodun yang menjadi asas kepada pertandingan ini.

“Selain itu, saya ingin mencabar diri saya dari segi keyakinan diri, kemahiran komunikasi, serta memperluaskan jaringan sosial bersama peserta lain yang turut membawa aspirasi budaya masing-masing,” katanya sambil mengharap penampilannya dapat memberi inspirasi kepada generasi muda untuk lebih mengenali dan mencintai budaya sendiri.

Katty dan Ardianfasly (kanan)

Velintinah turut merakamkan penghargaan kepada para pengkaji pakaian tradisi ‘Malindon’, iaitu Ardianfasly Inggu dan Katty Hazanney Hanafi.

“Rekaan pakaian ini dihasilkan oleh Ardianfasly dengan bantuan kedua ibu bapanya, Amir Apas dan Saimah Sundai. ‘Kimo’ pula dibuat oleh Aizzat, adik kepada Ardianfasly, yang mahir dalam penghasilan aksesori tradisional Murut Tahol, khususnya ‘Kimo’. Hanya segelintir individu yang masih menguasai kemahiran ini,” katanya.

Velintinah (dua kanan) bersama peserta UNK 2025 .

Konsep ‘back to basic’ mula diperkenalkan pada tahun 2015 oleh Jawatankuasa Pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) peringkat Negeri, yang ketika itu diketuai oleh Datuk Joanna Kitingan.

Mereka menekankan kepentingan pemakaian pakaian tradisional autentik mengikut daerah masing-masing. Inisiatif ini telah mendorong minat dan kajian oleh komuniti setempat, sekali gus membawa kepada kemunculan semula pakaian-pakaian tradisional yang jarang, malah ada yang mungkin tidak pernah lagi disaksikan di pentas Unduk Ngadau.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua cedera melecur dalam kebakaran lori bawa tong gas di Sandakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular