KUALA LUMPUR,— Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli hari ini mengumumkan peletakan jawatannya daripada barisan Jemaah Menteri, berkuat kuasa 17 Jun 2025.
Keputusan itu, menurut Rafizi, adalah susulan kekalahannya dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini yang, katanya, telah menjejaskan legitimasi politik untuk terus memacu dasar-dasar reformasi dalam kerajaan.
“Saya menyertai politik atas semangat membawa politik baru yang berteraskan mandat dan akauntabiliti kepada rakyat. Tanpa mandat itu, adalah tidak wajar untuk saya terus berada dalam kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Rafizi turut memaklumkan bahawa beliau akan menghabiskan cuti tahunan bermula hari ini sehingga 16 Jun, sebelum penamatan rasmi jawatannya sehari kemudian.
Surat rasmi perletakan jawatan telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan untuk menentukan pengganti yang sesuai.
Bekas Naib Presiden PKR itu turut merakamkan penghargaan kepada pasukan Kementerian Ekonomi dan penjawat awam yang telah bersamanya membentuk kerangka dasar negara sejak menyertai kabinet.
Antara sumbangan terakhir beliau ialah penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menurutnya telah dimuktamadkan dan sedia untuk dibentangkan di Parlimen.
RMK13 dijangka memberi fokus utama kepada reformasi pendidikan negara termasuk pembaharuan struktur dalam Kementerian Pendidikan.
“Saya berharap reformasi pendidikan ini akan terus dilaksanakan demi generasi akan datang, walaupun saya tidak lagi berada dalam pentadbiran,” ujarnya.
Rafizi turut menyeru rakyat agar terus menyokong usaha pemulihan struktur ekonomi negara demi mencapai status negara berpendapatan tinggi.
“Perjalanan ini masih panjang, tetapi keputusan yang sukar mesti terus dibuat untuk masa depan yang lebih mampan,” katanya mengakhiri kenyataan.