HomeUtamaUnduk Ngadau digalakkan jadi 'content creator', bantu promosi pelancongan Sabah

Unduk Ngadau digalakkan jadi ‘content creator’, bantu promosi pelancongan Sabah

Read Time:1 Minute, 32 Second

Kota Kinabalu : Peserta Unduk Ngadau Kaamatan digalakkan untuk bergiat aktif bagi membantu mempromosikan sektor pelancongan di negeri ini.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Joniston Bangkuai berkata, para peserta juga memiliki potensi untuk menjadi pencipta kandungan yang berpengaruh dan mampu memperoleh penonton tempatan mahupun antarabangsa.

Katanya, inisiatif penganjuran filem pendek ‘Culture, Adventure and Nature’ (C.A.N)  mampu memberi nilai tambah kepada pertandingan Unduk Ngadau dengan menggalakkan peserta menyampaikan cerita yang mencerminkan isu sebenar dan pengalaman komuniti.

“Adalah sangat sesuai untuk peserta Unduk Ngadau mempromosikan konsep C.A.N kerana mereka mewakili kepelbagaian masyarakat dan tempat di Sabah.

“Melalui penceritaan mereka, peserta dapat mengetengahkan agro-pelancongan, warisan tempatan dan kehidupan luar bandar dengan cara yang dapat menyentuh hati penonton tempatan dan luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Filem Pendek C.A.N pada Selasa, yang diadakan sempena pertandingan Unduk Ngadau peringkat negeri.

Joniston berkata, peserta kini bukan sahaja dikenali semasa sambutan Kaamatan, tetapi juga merupakan generasi celik digital yang mampu menghasilkan kandungan berimpak tinggi di media sosial.

Setiap peserta dikehendaki menghasilkan sebuah filem pendek di bawah kategori C.A.N dengan tema ‘Kaamatan Untuk Semua’, yang memberi tumpuan khusus kepada penafsiran semula tentang air dan tenaga, terutamanya dalam konteks komuniti dan pertanian.

Joniston turut memuji kreativiti dan komitmen yang ditunjukkan oleh para peserta Unduk Ngadau, sambil menyatakan bahawa filem yang dihasilkan memberikan gambaran bermakna terhadap keunikan dan daya tarikan pelancongan di daerah masing-masing.

“Usaha seperti pertandingan C.A.N ini penting untuk menggalakkan golongan muda menyumbang dalam mempromosikan identiti dan pelancongan Sabah melalui perspektif mereka sendiri,” katanya.

Tiga pemenang utama pertandingan filem pendek C.A.N ialah Unduk Ngadau Jenylin Janis mewakili Ranau di tempat pertama, diikuti oleh Emelka Ryner dari Putrajaya di tempat kedua, dan Ivy Davina David mewakili Inanam di tempat ketiga. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Dua cedera melecur dalam kebakaran lori bawa tong gas di Sandakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular