Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) digesa untuk menaik taraf sistem pengepaman air di kampus induk itu ekoran gangguan bekalan air yang berterusan sejak kebelakangan ini.
Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Chee Chun Chieh berkata, tangki R13 yang terletak dalam kawasan kampus dilihat mampu membekalkan lebih daripada lima juta liter air sehari dab mencukupi bagi keperluan harian universiti tersebut.
“Jika pam sedia ada tidak lagi dapat menampung permintaan, UMS seharusnya mempertimbangkan penggantian kepada unit pam yang berkapasiti lebih tinggi atau lebih cekap,” katanya lapor portal FMT
Beliau berkata demikian susulan laporan media yang memetik Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, sebagai berkata, gangguan air yang berpanjangan di UMS berpunca daripada kebergantungan kepada sistem telaga tiub, yang hanya mampu membekalkan sekitar satu juta liter air sehari, jauh lebih rendah daripada keperluan sebenar universiti.
Mustapha turut memaklumkan bahawa beliau telah meminta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, agar mengarahkan JANS untuk memastikan bekalan air ke kampus UMS tidak terganggu.
Kerajaan negeri pada masa ini dalam usaha mempercepatkan pembinaan saluran paip dari Loji Rawatan Air (LRA)’Telibong sebagai langkah jangka panjang untuk menampung permintaan air yang semakin meningkat di kawasan tersebut.
Namun, beliau mengakui bahawa pembinaan saluran paip tersebut mengalami kelewatan berikutan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo yang sedang giat dijalankan di kawasan terbabit.
Sebelum ini, Yayasan Pengguna Negara Malaysia (NCFM) cawangan Sabah turut menyuarakan kebimbangan terhadap isu gangguan bekalan air di UMS, dengan menyifatkannya sebagai satu kegagalan kerajaan negeri dalam memastikan kemudahan asas dibekalkan secara konsisten kepada institusi penting seperti universiti awam.