Kota Kinabalu : Pereka grafik dan aktivis, Fahmi Reza mendakwa dirinya telah dihalang daripada memasuki negeri ini selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) hari ini.
Fahmi menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram Story miliknya memaklumkan, beliau telah diberikan Notis Penolakan Masuk oleh pihak berkuasa sejurus tiba di KKIA.
Selain itu, beliau turut mendakwa larangan itu adalah atas arahan pihak atasan negeri.
Fahmi turut mendakwa bahawa terpaksa berpatah balik ke ibu negara pada hari yang sama selepas menerima notis berkenaan.
Sebelum ini Fahmi telah mencetuskan kontroversi dengan mencipta karikatur didakwa menghina Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11, Tun Musa Aman pada hujung tahun lalu.
Tindakan Fahmi itu menyebabkan kemarahan rakyat Sabah yang dilihat membawa budaya politik luar masuk ke negeri ini.
Berikutan itu, beliau telah ditahan bagi membantu siasatan kes di bawah Akta Hasutan 1948 selepas menerima lebih 30 laporan termasuk berkaitan poster karikatur berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Ke-11, Tun Musa Aman.