HomePendapatECOS Wajar Bertindak Sebagai Pemudah Cara, Bukan Sekadar Penguat Kuasa dalam Isu...

ECOS Wajar Bertindak Sebagai Pemudah Cara, Bukan Sekadar Penguat Kuasa dalam Isu Pepasangan Janakuasa Genset

Read Time:2 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU – Isu pendaftaran pepasangan janakuasa (genset) yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga (ECOS) semakin menjadi tumpuan masyarakat — bukan kerana dasar itu baharu, tetapi kerana pelaksanaannya kini menimbulkan rungutan yang nyata, terutama dalam kalangan pengguna dan perusahaan kecil yang sedang bergelut dengan ketidaktentuan bekalan elektrik.

Walaupun ECOS menegaskan bahawa dasar ini merupakan amalan sedia ada selaras dengan Enakmen Bekalan Elektrik 2024, persoalannya ialah sejauh mana pelaksanaannya mengambil kira realiti semasa — iaitu gangguan bekalan yang masih kerap berlaku di beberapa kawasan. Dalam keadaan ini, genset bukan lagi satu pilihan tambahan, tetapi keperluan asas bagi menjamin kelangsungan operasi.

ECOS menyatakan bahawa caj pendaftaran adalah rendah. Namun, itu hanya sebahagian kecil daripada beban sebenar. Pemilik pepasangan perlu menanggung kos tambahan untuk melantik juruperunding bertauliah bagi tujuan pengujian dan penyediaan dokumen yang dalam banyak kes mencecah ribuan malah puluhan ribu ringgit, iaitu bayaran kepada konsultan. Jika industry besar mungkin itu biasa, namun bagi pengusaha IKS ia dianggap beban yang cukup tinggi,

Timbul persoalan wajar — siapa mengawal kadar bayaran ini?

Dalam kenyataan media pada 15 Mei lalu, Ketua Pegawai Operasi ECOS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid menjelaskan bahawa caj-caj tinggi itu tidak dibayar kepada ECOS, sebaliknya ditentukan oleh juruperunding atau kontraktor yang dilantik oleh pengguna. ECOS, katanya, badan itu hanya bertindak sebagai badan kawal selia dan bukan entiti perniagaan.

Namun kenyataan tersebut juga mendedahkan satu realitii iaitu ECOS sedar punca beban itu datang daripada juruperunding yang dilantik pengguna, tetapi adakah satu ruang seperti sebarang garis panduan harga atau kadar siling bagi memastikan pengguna tidak dikenakan bayaran yang melampau sedangkan Perunding ini semua wajib berdaftar dengan Ecos.

Di sinilah letaknya jurang kebertanggungjawaban. Dalam konteks ini, ECOS tidak boleh lepas tangan hanya kerana ia bukan penerima bayaran. Apabila khidmat juruperunding itu perlu mendapat pengiktirafan ECOS, maka sewajarnya agensi itu juga menyediakan satu garis panduan standard — sekurang-kurangnya sebagai rujukan harga pasaran yang wajar.

Bersandarkan prinsip “willing seller, willing buyer” tanpa kawalan harga dalam sektor yang berkait langsung dengan kepentingan awam adalah satu langkah yang tidak berhemah. Pengguna akhirnya terpaksa membuat pilihan dalam keadaan tidak seimbang, tanpa sebarang rujukan yang jelas.

Lebih penting, ECOS perlu melihat isu ini dalam konteks yang lebih luas. Industri kecil dan sederhana (IKS) yang memilih untuk memasang genset kerana mereka tidak mahu berdepan kerugian besar akibat gangguan bekalan elektrik yang berulang. Mereka bukan pelanggan komersial besar, tetapi mereka tetap menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Sabah secara khususnya dan Malaysia secara amnya.

Justeru, ECOS harus memainkan peranan sebagai pemudah cara — bukan sekadar penguat kuasa peraturan. Agensi kawal selia yang berkesan ialah yang mampu mengimbangi keperluan peraturan dan sensitiviti masyarakat.

Justeru wajar ECOS memberikan lebih masa untuk mendidik pengguna, tangguhkan penguatkuasaan bersifat denda, berunding dengan pengguna serta satu regulatori harga untuk memastikan hak pengguna dan industri dipelihara

Jika ECOS hanya bertindak sebagai penjaga buku peraturan tanpa menyantuni beban sebenar pengguna, maka dasar yang baik juga akan dilihat sebagai menekan, bukannya melindungi.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua cedera melecur dalam kebakaran lori bawa tong gas di Sandakan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular