Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kejayaan Sabah menarik pelaburan besar dalam sektor industri keluli mesra alam membuktikan keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik dan dasar ekonomi Malaysia.

Beliau berkata, pencapaian tersebut adalah hasil daripada dasar negara yang stabil, persekitaran pelaburan yang kondusif serta kecekapan pelaksanaan projek tanpa kerenah birokrasi.
“Jangan nilai pemimpin berdasarkan janji, tetapi berdasarkan tindakan. Keputusan Steel Enterprise untuk melabur di Sabah membuktikan keyakinan terhadap kestabilan politik, kejelasan dasar ekonomi, dan kelulusan projek yang cekap,” katanya ketika merasmikan majlis pelancaran Fasa Pertama Projek Esteel bernilai RM6.4 bilion di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Anwar turut memaklumkan bahawa kerajaan Persekutuan memberi kelulusan khas kepada Sabah untuk membangunkan industri keluli mesra alam, berbeza dengan Semenanjung Malaysia yang kini dikenakan moratorium terhadap lesen baharu industri berkenaan.
“Mengapa Sabah? Kerana ia negeri hijau, mempunyai kapasiti, dan permintaan bukan hanya datang dari Sabah dan Sarawak, tetapi juga dari Kalimantan. Ini keputusan berdasarkan keperluan negara, bukan sentimen politik sempit,” jelas beliau.
Perdana Menteri juga menekankan keperluan untuk melatih tenaga kerja tempatan dengan kemahiran yang memenuhi keperluan sebenar industri. Beliau menggesa kerjasama antara industri, institusi latihan dan universiti bagi memastikan rakyat Sabah mendapat peluang pekerjaan yang sesuai.
“Jangan bazir masa dengan latihan yang tidak relevan. Latih mereka sekarang supaya apabila syarikat perlukan 200 juruteknik, kita sudah bersedia,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut memperincikan usaha berterusan Malaysia menjalin hubungan diplomatik dan perdagangan dengan negara kuasa besar dunia seperti China, Amerika Syarikat, Jepun, Korea dan negara-negara Teluk (GCC).
Menurut beliau, lawatan pemimpin tertinggi China ke Malaysia baru-baru ini serta kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC merupakan petanda jelas bahawa Malaysia terus mendapat perhatian pelabur antarabangsa.
“Malaysia, walaupun negara sedang membangun, berjaya menarik pelaburan global. Ini bukan kerana saya seorang atau Ketua Menteri semata-mata, tetapi kerana kita bersatu, stabil dan fokus kepada pembangunan ekonomi,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri dalam menjayakan agenda pertumbuhan inklusif dan pembangunan mampan yang selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Saya tidak menolak pandangan berbeza, tetapi kita perlu fokus kepada realiti dan keperluan rakyat. Sabah mesti matang dan kompetitif. Jangan biar emosi politik menenggelamkan keperluan sebenar rakyat – iaitu pekerjaan, kemahiran, dan kemajuan ekonomi,” tegasnya.
Anwar turut mengakui bahawa kejayaan Malaysia menarik pelaburan dan membina kerjasama strategik tidak datang daripada retorik, tetapi melalui tindakan berprinsip, dasar yang jelas, serta pentadbiran yang telus dan berkesan.
“Malaysia tidak boleh bandingkan diri dengan negara yang lemah. Kita harus bandingkan dengan yang terbaik, dan tiada sebab mengapa Sabah dan Malaysia tidak boleh jadi antara yang terbaik di dunia,” katanya.