Kota Kinabalu : Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sabah berjaya mencatat kutipan cukai sebanyak RM5.7 billion bagi tahun 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Malaysia, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin berkata, tahun ini agensi itu menyasarkan kutipan yang lebih berbanding tahun lalu dengan nilai sasaran RM6.2 billion bagi negeri ini.
“Sasaran berkenaan meningkat memandangkan kutipan pada tahun 2024 menunjukkan maklum balas yang positif dengan kutipan melebihi dari tahun sebelumnya.
“LHDN juga dari masa ke semasa akan terus memantau prestasi syarikat-syarikat yang culas untuk membayar cukai yang sepatutnya dikenakan.

“Mereka boleh membuat pembayaran secara ansuran dan menjadi tanggungjawab LHDN Negeri untuk memastikan syarikat-syarikat tersebut mematuhi jadual pembayaran,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu di sini pada Khamis.
Dr. Abu turut menyatakan tujuan kunjungan itu diadakan adalah untuk memperkenalkan Pengarah LHDN Sabah yang baharu iaitu Datin Dayang Halimah Awang Ahmad yang menggantikan Azrul Hisham Shamsudin.
Selain itu, Tariq juga berkata LHDN Sabah telah mengadakan Operasi Pematuhan (OP) Tombak di Tawau pada 23 hingga 25 April 2025.
“LHDN juga ada mengadakan beberapa operasi khusus bagi memastikan peraturan diikuti antaranya OP Tombak dalam memastikan pematuhan dari segi cukai pendapatan termasuk Sistem Taksiran dan Pembayaran Duti Setem secara elektronik (STAMPS) dapat dipantau,” katanya.
Dalam kunjungan tersebut, Tariq diiringi Datin Dayang Halimah Awang Ahmad, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Cawangan Khas) Ahmad Khairuddin Abdullah, Pengarah Operasi Negeri (Audit Cukai Syarikat) Paul Anak Sarip dan Pengarah Operasi Negeri (Pungutan) Naharuddin Nurdin.
Dalam pada itu, Tun Musa turut menerima kunjungan hormat dari Persatuan Jurutera Malaysia (IEM) Negeri Sabah yang diketuai oleh pengerusinya Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar bersama rombongan pada hari tersebut.
Menurut Yaakob, tujuan kunjungan adalah bagi menjemput Tun Musa untuk hadir ke Majlis Golden Jubilee 50 Tahun IEM Sabah yang dijangkakan diadakan pada 14 Jun depan.
Yaakob juga berkata Tun Musa pernah merasmikan Pusat Latihan IEM Sabah di Telipok pada tahun 2015 ketika beliau masih lagi menjadi Ketua Menteri Sabah.