Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengusulkan agar Sabah membina jaringan yang lebih kukuh dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pembangunan negeri itu dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan berkesan.
Beliau berkata hubungan yang baik antara negeri dan pusat perlu berlandaskan kepercayaan dan persefahaman, sebagaimana yang telah dibina bersama Kerajaan Sarawak dalam pelaksanaan dasar serta penyelesaian isu-isu berbangkit termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Saya yakin, kalau kita mahu membela nasib negeri dan rakyat Sabah, hubungan negeri dengan Persekutuan harus intim dan berdasarkan saling percaya. Kita telah buktikan ini dengan Sarawak, dan sebab itu saya usulkan agar rakyat Sabah wujudkan jaringan yang lebih kuat dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika bertemu barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) Sabah yang terdiri daripada wakil-wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Amanah dan UPKO di sini malam tadi.
Anwar turut menjelaskan bahawa kunjungannya ke Sabah memberi peluang kepada beliau untuk mendengar pandangan daripada pimpinan PH negeri dalam menentukan keutamaan manifesto dan strategi rundingan kerusi bersama rakan politik seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN).
“Pandangan yang saya dengar ini akan dibawa ke perhatian rakan-rakan di peringkat pusat. Keputusan kita adalah untuk menyerahkan sepenuhnya pengendalian Pilihan Raya Negeri kepada PH Sabah,” katanya.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap pelaksanaan MA63 bukan sekadar retorik politik menjelang pilihan raya, sebaliknya telah dibuktikan melalui penyelesaian sembilan perkara utama yang tertangguh selama puluhan tahun.
“Sejak dua tahun saya memegang jawatan ini, kita beri keutamaan kepada MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama menteri-menteri dari Sabah dan Sarawak. Kita juga berjaya selesaikan isu-isu lebih besar seperti minyak dan gas dengan Sarawak,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan sama akan digunakan untuk memastikan Sabah turut mendapat hasil yang lebih terjamin dan tidak disalahgunakan, seiring prinsip ketelusan dan tadbir urus yang baik.
“Saya tidak mahu pemimpin berebut kekayaan, tetapi guna kesempatan untuk membela hak Sabah, termasuk dalam isu tuntutan Sulu. Ini soal maruah negara. Kita telah belanja besar untuk mempertahankan hak negeri dan negara,” tegasnya.
Dalam pada itu, Anwar turut menyentuh tentang kejayaan Kerajaan Persekutuan mempertahankan kedudukan pejabat ASEAN dan BIM-EAGA di Kota Kinabalu, sebagai antara usaha mempertahankan kepentingan Sabah di peringkat serantau.
“Setiap kali saya datang, saya dengar dan bawa ke Jemaah Menteri untuk dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai strategi PH Sabah, Anwar memaklumkan bahawa empat pimpinan utama PH negeri telah diberi tanggungjawab untuk memimpin rundingan dengan GRS dan BN di peringkat negeri.
“Rundingan dibuat di peringkat negeri, saya beri sokongan penuh. Saya juga telah bertemu Datuk Seri Hajiji dan Datuk Seri Zahid. Kita baik dengan kedua-duanya dan ruang perbincangan politik tidak pernah ditutup. Yang penting ialah kestabilan politik dan hubungan rapat dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Sempena Hari Wartawan Nasional, Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada warga media atas dedikasi dan komitmen mereka dalam menjalankan tugas.
“Saya ucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua wartawan. Tugas mereka luar biasa kritikal, menyokong dan menegur, tetapi yang penting berperanan untuk rakyat. Teruskan bekerja dengan semangat demi kejayaan negeri Sabah dan negara tercinta,” katanya.