HomeEkonomiLadang koko kelompok Kampung Lokos bawa sinar baharu kepada penduduk luar bandar

Ladang koko kelompok Kampung Lokos bawa sinar baharu kepada penduduk luar bandar

Read Time:2 Minute, 57 Second

Oleh Florieta Diet

TAMPARULI: Di sebalik kehijauan dusun dan kampung luar bandar Sabah, terselit kisah kejayaan yang membanggakan dalam industri koko tempatan antaranya melalui projek Ladang Koko Kelompok di Kampung Lokos, dekat sini yang kini semakin menjadi perhatian.

Projek berkenaan dikelolakan oleh Lembaga Koko Malaysia (LKM), dengan penyertaan awal seramai 35 peserta termasuk James Pango, 66, seorang pengusaha berpengalaman yang mula menceburi tanaman koko sejak tahun 2012. Menjelang 2014, bilangan peserta meningkat kepada 48 orang menunjukkan projek ini mula menarik minat penduduk lain.

James menggaul biji koko di rumah pengeringan biji koko.

Menurut James, kejayaan projek koko kelompok ini tidak akan tercapai tanpa bantuan kerajaan yang disalurkan melalui LKM, termasuk bekalan anak benih koko, baja, racun serangga, latihan teknikal dan bimbingan pemasaran.

“Mula-mula tanam dulu, memang banyak cabaran. Masa tu belum pernah pergi kursus, teknik cantuman pun tidak tahu,” katanya yang kini mengetuai kelompok koko Kampung Lokos.

Biji koko diperam lebih daripada lima hari sebelum dikeringkan.

Beliau giat menghadiri kursus LKM dan berkongsi ilmu yang dipelajari dengan ahli kelompok, sehingga tahap kemahiran para peserta meningkat dan kini tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada bimbingan luar.

Antara cabaran utama yang dihadapi oleh pengusaha koko ialah serangan kulat dan ulat daun, yang boleh menyebabkan buah menjadi hitam dan rosak. Namun, penjagaan rapi termasuk dua jenis cantasan – membuang ranting penghalang cahaya dan mengawal pertumbuhan tidak sihat – berjaya mengurangkan masalah ini.

“Bila kita jaga betul-betul, buah koko hitam pun makin kurang. Semuanya kena usaha,” ujar James.

Koko yang dituai akan dikeringkan terlebih dahulu sebelum dijual kepada pembeli persendirian, syarikat swasta dan melalui saluran rasmi LKM. Hasil ladang James dengan keluasan hanya sehektar mampu mencecah 500 kilogram setiap musim enam bulan, bergantung kepada cuaca dan kesuburan.

Dengan harga pasaran sekitar RM37 sekilogram, tanaman koko memberikan pulangan yang baik kepada peserta kelompok, sekali gus menjadi sumber pendapatan yang stabil.

LKM turut membina sebuah rumah pengeringan khas biji koko bagi mengekalkan kualiti biji mengikut piawaian pasaran. Proses pengeringan ini penting selepas biji koko diperam selama lima hingga tujuh hari untuk menyingkirkan rasa pahit dan membentuk aroma. Biji koko kemudiannya dijemur sehingga kering sebelum dipasarkan.

Projek koko kelompok Kampung Lokos membuktikan bahawa tanaman ini bukan sahaja berpotensi sebagai pendapatan sampingan, malah menjadi sumber rezeki utama bagi sesetengah penduduk. Model berkelompok turut menggalakkan kerjasama erat dalam komuniti luar bandar.

Dengan sokongan berterusan kerajaan dan LKM, serta teknologi pertanian yang semakin berkembang, masa depan industri koko di Sabah dilihat semakin cerah sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada golongan belia untuk turut serta dalam sektor ini.

Dr Ramle

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia (LKM) Datuk Dr. Ramle Kasin berkata, LKM dengan Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada petani koko sebagai galakan dan dorongan untuk terus membangunkan tanaman ini.

“Antara bantuan yang disediakan termasuklah, bantuan input pertanian seperti baja, racun serangga dan bahan kawalan penyakit secara percuma, (tertakluk kepada kelayakan dan peruntukan semasa), program pemulihan ladang koko sedia ada dan galakan kepada penanaman baharu koko, kursus dan latihan teknikal secara teori dan praktikal bagi mempertingkat kemahiran petani, serta mengemaskini pengetahuan mereka mengenai amalan agronomi yang terbaik,” katanya.

Walau bagaimanapun Dr. Ramle menekankan bahawa bantuan ini seharusnya menjadi pemangkin, bukan kebergantungan.

“Bantuan baja yang kami beri mungkin cukup untuk 60 peratus hingga 70 peratus keperluan. Selebihnya, petani sendiri perlu berusaha lebih, tambah baja, jaga pokok elok-elok. Apabila pokok sihat dan gemuk, maka hasil akan lebih baik,” katanya ketika dalam sidang media selepas membawa rombongan Malaysia International Cocoa Festival (MICF) 2025 melawat ladang koko di kampung itu baru-baru ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Tiga lelaki dicekup, polis Penampang rampas 78,500ml air ketum

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular