HomeUtamaAtitih dedikasikan kemenangan buat penyokongnya

Atitih dedikasikan kemenangan buat penyokongnya

Read Time:2 Minute, 20 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Atitih Yatih Robert mengambil masa lapan tahun mempersiapkan diri sebelum kembali menyertai pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) buat kali kedua.

Top 7 Unduk Ngadau 2025.

Percubaan keduanya membuahkan hasil apabila beliau dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan peringkat Negeri 2025, mengatasi 50 finalis lain dari daerah, sub-daerah dan cawangan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) dalam acara yang berlangsung di Hongkod Koisaan, Penampang, malam tadi.

Gadis berusia 26 tahun yang mewakili Tamparuli itu membawa pulang wang tunai sebanyak RM17,500, sebuah mahkota, piala, biasiswa serta barangan tajaan.

“Erti kemenangan ini sangat mendalam buat saya. Ia bukan sahaja untuk diri saya sendiri, tetapi juga untuk semua yang menyokong saya dari dulu,” katanya sambil mengimbau percubaan pertamanya dalam pertandingan UNK pada tahun 2017.

Menurutnya, pada waktu itu dia baru berusia 18 tahun dan mewakili daerah Kota Marudu.

“Waktu itu saya menang Miss Popular Facebook. Ramai yang menyokong saya. Tapi saya langsung tidak tersenarai dalam tujuh terbaik. Memang banyak orang yang kecewa… Lepas itu ada yang cakap ‘Tolong kembali. Kami mahu tengok kamu lagi beraksi’.”

“Jadi kemenangan ini saya bawa dari apa yang saya pegang waktu lapan tahun lepas. Saya simpan tekad, dan kali ini saya sertai bukan untuk main-main,” katanya.

Dalam tempoh lapan tahun itu, Atitih mempersiapkan diri secara menyeluruh, termasuk mengasah kemahiran komunikasi dan keyakinan diri.

“Saya orang yang sangat pemalu. Sekarang pun sebenarnya saya malu. Tetapi selepas bertahun-tahun berlatih, saya akhirnya berjaya mengatasinya,” kata Atitih, yang ibunya berasal dari Kota Marudu dan bapa dari Tuaran.

Perjalanan Atitih juga menyaksikan perubahan fizikal yang ketara. Beliau berjaya menurunkan lebih 10 kilogram dalam tempoh lima bulan sebagai persiapan untuk pertandingan.

“Sebelum ini berat saya 70 kilogram. Saya mula berpuasa, bersenam dan kurangkan pengambilan gula, terutamanya coklat yang sangat saya gemari ketika belajar dahulu,” kata graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) itu, yang kini sedang menunggu penempatan sebagai guru Bahasa Melayu.

Kemenangannya juga mencipta sejarah buat masyarakat Dusun Tindal Tenghilan apabila memperagakan pakaian tradisi komuniti itu, ‘Pinialap’, buat julung kalinya di pentas UNK.

Kini melangkah ke peranan baharunya sebagai Unduk Ngadau 2025, Atitih bersedia memikul segala tanggungjawab yang datang bersama gelaran itu.

“Saya tahu selepas ini saya akan terikat dengan kontrak dan komitmen yang perlu dipatuhi dengan gelaran ini. Sejak mula saya putuskan untuk sertai UNK, saya bersedia untuk tunaikan semua tanggungjawab itu.”

Sementara itu, naib juara dimenangi oleh Elka Alika Pijeh yang mewakili Tambunan dan tempat ketiga diraih oleh Celarin Jenny mewakili Kiulu. Tempat keempat disandang oleh Rini Aswanda Jukilin (Beluran), diikuti oleh Steavaynie Ginadus (Beaufort) di tempat kelima, Jenylin Janis (Ranau) di tempat keenam, dan Evanatie Sannie (Bandaraya Kota Kinabalu) di tempat ketujuh.

Majlis penyampaian mahkota Unduk Ngadau 2025 disempurnakan oleh isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin. Turut hadir ialah isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Panglima Juliah Salag.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki terlepas hukuman mati, digantikan dengan penjara seumur hidup

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular