Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Parti Gagasan Rakyat Sabah komited untuk terus bekerja keras dan berusaha bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik pada pilihanraya negeri akan datang.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata semangat ahli-ahli parti bahagian itu jelas menunjukkan kesiapsiagaan mereka untuk menghadapi pilihan raya kali ini.
“Saya difahamkan sebanyak 161 cawangan di Sebatik telah berjaya mengadakan mesyuarat masing-masing dan menghantar perwakilan ke persidangan sejak pagi tadi (semalam).
“Melihat kepada gerak kerja sama ada ahli-ahli dan perwakilan yang hadir, semangat mereka sangat tinggi dan telah bersiap sedia untuk memastikan DUN Sebatik kekal milik GRS,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Sebatik 2025 di Dewan Masyarakat Tawau, di sini semalam.
Hadir sama pada persidangan itu ialah Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sebatik merangkap Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Hassan A Gani dan wakil-wakil dari parti komponen GRS.
Menjawab persoalan berkaitan isu perpecahan dalam kalangan ahli sekiranya ada di antaranya tidak dicalonkan, Nizam beliau berkata ia adalah perkara biasa dalam dunia politik, namun menegaskan bahawa kepentingan parti perlu diutamakan.
“Setiap orang berhak mencuba nasib. Tetapi apabila keputusan muktamad dibuat oleh pucuk pimpinan parti, saya yakin semua akan akur kerana perjuangan parti lebih penting daripada kepentingan peribadi,” tambah beliau.
Menurutnya, senarai pendek calon berpotensi bagi Zon 12 yang merangkumi Parlimen Tawau dan Kalabakan melibatkan tujuh DUN telah dihantar kepada kepimpinan parti untuk tapisan akhir.
“Dalam satu zon ada sekurang-kurangnya ada tiga nama disenaraikan untuk setiap DUN, termasuk penyandang. Kita serahkan kepada pucuk pimpinan untuk memilih calon yang benar-benar boleh menjamin kemenangan,” jelasnya.
Nizam turut menepis tuduhan pihak lawan yang mendakwa GRS menggunakan dana kerajaan untuk berkempen, sambil menegaskan semua gerak kerja parti dibiayai sepenuhnya oleh parti.
Beliau menegaskan tuduhan tersebut adalah tidak berasa dan GRS tidak pernah menggunakan dana kerajaan dalam kempen politik.
Dalam pada itu, Nizam turut memuji usaha dan gerak kerja ADUN yang berusaha membawa pelbagai pembangunan ke kawasan tersebut, termasuk menerusi inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Penduduk Pulau Sebatik turut menikmati limpahan pembangunan seperti rumah SMJ yang ditingkatkan kepada 40 buah setahun, selain pembaikan jambatan, jeti, dan bantuan kepada sekolah,” katanya lagi.
Terdahulu dalam ucapan perasmian persidangan, Nizam turut menzahirkan penghargaan kepada kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Presiden Gagasan Rakyat dan Pengerusi GRS yang telah memimpin negeri ini ke arah pembaharuan dan kemajuan sejak hampir lima tahun.
Beliau menegaskan, kerajaan GRS telah membuktikan keupayaan mereka menerusi pelbagai inisiatif pembangunan terutama dalam menyediakan bekalan elektrik, air dan infrastruktur jalan yang berterusan.
“Empangan air di Cinta Mata adalah contoh projek yang dilaksanakan untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Sabah. Projek-projek ini telah dihidupkan semula selepas kerajaan terdahulu menghentikannya,” katanya.
Selain itu, Nizam turut menyentuh pelaburan besar bernilai RM31 bilion oleh Estel Group yang disaksikan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, sebagai tanda keyakinan pelabur terhadap Sabah di bawah pentadbiran GRS-PH.
Beliau juga menegaskan komitmen kerajaan GRS dalam memperkasakan modal insan Sabah melalui peruntukan biasiswa bernilai RM127 juta dan pelbagai bantuan sosial seperti bantuan bulanan kepada golongan miskin tegar serta pelajar di dalam dan luar negeri.
“Ini adalah bukti nyata kerajaan GRS sentiasa mengambil berat kebajikan rakyat Sabah,” ujar beliau.