Oleh Florieta Diet
DALAM era pembangunan pesat dan kemajuan teknologi, keadilan sosial bukan sekadar menyediakan peluang yang sama rata, tetapi memastikan setiap lapisan masyarakat diberi ruang untuk hidup dengan maruah dan berdikari.
Namun, di sebalik kemajuan ini, masih terdapat kelompok masyarakat yang belum sepenuhnya menikmati manfaat pembangunan bukan kerana kekurangan pada diri mereka, tetapi kerana sistem dan persekitaran yang belum benar-benar memahami serta memenuhi keperluan mereka.
Golongan orang kelainan upaya (OKU) sering berjuang dalam senyap, menghadapi pelbagai rintangan fizikal dan sosial dalam kehidupan seharian. Dari bangunan yang tidak mesra akses sehinggalah kepada sikap masyarakat yang kurang peka, cabaran mereka nyata dan berlapis.
Namun di sebalik cabaran itu, ada suara yang bangkit membawa harapan dan perubahan. Dua individu OKU dari Sabah Francis Xavier dari Penampang dan Noney Gondolos dari Kota Belud tampil berkongsi pengalaman mereka.
Bukan untuk menagih simpati, tetapi sebagai seruan kepada masyarakat: dengarlah, fahamilah, dan bertindaklah. Penghargaan dan harapan: Suara dari Penampang Francis Xavier, 40, dilahirkan tanpa kaki dan bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda untuk bergerak.
Beliau memuji usaha pihak berkuasa tempatan di Penampang yang telah menyediakan beberapa kemudahan asas seperti tempat letak kereta khas, tandas awam mesra OKU dan laluan cerun.

Namun begitu, Francis menegaskan bahawa usaha ini tidak seharusnya terhenti di peringkat kerajaan sahaja. Banyak institusi seperti bank dan syarikat swasta masih belum menyediakan akses cerun, menyukarkan pergerakan OKU.
“Saya berterima kasih kepada pihak berkuasa tempatan kerana prihatin, tetapi masih banyak bank dan syarikat swasta yang belum menyediakan laluan cerun untuk OKU. Ini sangat menyukarkan kami,” jelas beliau.
Tambah beliau, kemudahan yang ada juga sering disalahgunakan tempat letak kereta OKU digunakan oleh individu biasa, manakala tandas awam OKU dijadikan stor.

“Bila kami ke bandar, pergerakan jadi sangat terbatas. Kami perlukan lebih daripada sekadar simpati kami perlukan sistem yang hormat keperluan kami,” katanya.
Francis turut menyeru agar OKU dilibatkan dalam proses perancangan pembangunan.
“Kerajaan galakkan OKU berdikari dan keluar bekerja, tetapi bagaimana kami mahu bekerja kalau bangunan pun tiada laluan untuk kami? Saya hanya mahu hidup bebas simpan duit di bank, beli barang, tanpa perlu bergantung pada sesiapa,” ujarnya.
Kisah Noney Gondolos dari Kota Belud yang penuh inspirasi Noney Gondolos, 55, seorang wanita kerdil yang menggunakan kerusi roda kuasa eletrik, berkongsi cabaran hidup sebagai OKU yang bukan sahaja fizikal, malah melibatkan persepsi masyarakat.
“Kadang-kadang mereka panggil saya bukan dengan nama, tapi seolah-olah saya ini hanya wujud untuk dikasihani. Sebenarnya, bukan itu yang kami mahu,” katanya.
Beliau menceritakan pengalamannya di sebuah pusat beli-belah terkenal di Kota Kinabalu.
“Saya ingat lif di pusat membeli-belah itu mesra OKU. Tapi bila saya masuk, saya tidak sampai untuk tekan butang. Tingginya melebihi capaian saya. Macam mana mahu bergerak kalau perkara asas macam ini pun susah?”
Di pekan Kota Belud pula, kekurangan kemudahan memaksa beliau bergantung pada ahli keluarga setiap kali keluar.
“Saya pun mahu bergerak sendiri. Bukan setiap masa ahli keluarga dapat menemani kita, mereka pun ada kerja,” ujar Noney.
Walaupun ada laluan cerun disediakan, ada yang tidak selamat digunakan.
“Ada juga cerun disediakan, tapi laluan yang disediakan agak kecil, merbahaya kalau terjatuh,” katanya.
Noney turut meluahkan kekecewaannya terhadap tempat letak kereta OKU yang tidak disusuli dengan cerun ke bangunan.
“Ada tempat yang sediakan parkir OKU, tapi tiada cerun disediakan. Macam mana kami mahu naik tangga kalau guna kerusi roda?” katanya.
Beliau juga menjelaskan bahawa golongan OKU semakin meningkat bilangannya. Tidak semua dilahirkan begitu, ada yang menjadi OKU selepas kemalangan atau sakit.
“Dengarlah keluhan kami” Francis dan Noney hanyalah dua daripada suara OKU yang masih belum didengari sepenuhnya. Mereka tidak meminta layanan istimewa, cuma mahu hak yang sewajarnya kemudahan asas, akses selamat, dan peluang untuk hidup berdikari.
“Kami tidak minta lebih, cuma kami mahu hak mengikut keperluan kami,” kata Noney.
Sudah tiba masanya suara-suara seperti Francis dan Noney tidak lagi tenggelam dalam arus pembangunan. Mereka mewakili golongan minoriti dan mencerminkan tahap sebenar inklusiviti masyarakat kita.
“Masyarakat OKU tidak mahu hanya menjadi pemerhati dari luar pagar pembangunan. Kami ingin turut serta, bersuara dan dilibatkan dalam setiap perancangan dan pelaksanaan pembangunan baharu. Jangan sisihkan kami kerana negara ini milik semua,” kata mereka.