HomeUtamaMaritim Malaysia gagalkan cubaan seludup barangan kawalan di Semporna

Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup barangan kawalan di Semporna

Read Time:1 Minute, 37 Second

SEMPORNA : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan satu cubaan menyeludup barangan kawalan dan runcit selepas menahan sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran di perairan daerah ini, awal pagi pada Jumaat.

Pengarah Maritim Zon Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.20 pagi itu, sepasukan anggota yang melaksanakan rondaan bersepadu telah mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.

“Menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot pam terbabit bertindak memecut laju bagi melarikan diri, namun kecekapan anggota Maritim Malaysia berjaya memintas bot berkenaan kira-kira 25 minit kemudian di kedudukan 0.1 batu nautika Timur Laut Kampung Bangau-Bangau. 

“Bagaimanapun, juragan bot terbabit nekad terjun ke dalam laut dan berjaya melarikan diri ke kawasan perumahan atas air di kampung berkenaan bagi mengelakkan diri daripada ditahan.

“Maklumat awal mendapati modus operandi sindiket ini adalah dengan bergerak aktif pada waktu awal pagi bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa. 

“Walau bagaimanapun, hasil kesiapsiagaan dan maklumat risikan Ibu Pejabat Maritim Zon Semporna, kita berjaya mematahkan cubaan ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Amir berkata, hasil pemeriksaan lanjut di dalam bot berwarna kelabu itu menemukan pelbagai barangan yang cuba diseludup antaranya tujuh tong gas, lima tong ‘jerry can’ berisi minyak petrol, 10 beg beras seberat 10 kilogram (kg) pelbagai jenama, 14 tin cat bersaiz lima liter, sembilan tin cat bersaiz satu liter, serta sebuah tong ikan berwarna merah.

Beliau menambah, kesemua barangan rampasan termasuk bot dan enjin telah ditunda ke Jeti Kem Azumi, Semporna sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Maritim Zon Semporna untuk tindakan lanjut. 

“Kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melanggar undang-undang negara, khususnya membabitkan penyeludupan barangan kawalan keluar dari sempadan kita.

“Kami juga memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti jenayah di laut untuk segera menyalurkannya kepada kami di Ibu Pejabat Maritim Zon Semporna,” katanya. 

RELATED ARTICLES
Utama

UMS tingkat kesedaran pelaburan saham dalam kalangan mahasiswa

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular