Kota Kinabalu : Semua bentuk iklan termasuk sepanduk, banting, papan tanda premis dan papan arah yang dipasang di kawasan pentadbiran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) perlu memiliki kelulusan serta permit sah.
DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, ia adalah berdasarkan Undang-Undang Kecil Iklan (Majlis Perbandaran Kota Kinabalu) 1983 yang memperuntukkan sebarang pemasangan iklan memerlukan kelulusan dan permit sah daripada DBKK.
Menurut kenyataan itu, meskipun undang-undang tidak mewajibkan pemberian notis sebelum kompaun dikenakan, DBKK akan mengeluarkan notis peringatan kepada peniaga dan pemilik premis terlebih dahulu.
“Bagi membantu peniaga dalam urusan mendapatkan lesen iklan, beberapa inisiatif telah diambil seperti perkongsian maklumat di media sosial rasmi, penerangan semasa proses permohonan lesen perniagaan dan talian khas untuk pertanyaan berkaitan pemasangan iklan,” menurut kenyataan itu di sini.
DBKK menyatakan demikian selepas mengambil maklum rungutan segelintir pihak berkaitan penguatkuasaan pemasangan iklan tanpa permit di sekitar kawasan pentadbiran DBKK.
DBKK menyeru semua pihak untuk memastikan sebarang pemasangan iklan dilakukan mengikut prosedur yang sah agar persekitaran Kota Kinabalu kekal harmoni, kemas dan teratur.
Sebarang pertanyaan lanjut dan rayuan, hubungi Jabatan Pelesenan (Bahagian Iklan), DBKK di talian 088-521800. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK