HomeUtamaPusat Khidmat Sehenti Pekerja akan ditubuhkan di Sabah

Pusat Khidmat Sehenti Pekerja akan ditubuhkan di Sabah

Read Time:2 Minute, 24 Second

Kota Kinabalu : Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) akan menubuhkan Pusat Khidmat Sehenti Pekerja (One Stop Labour Service Centre) di negeri ini sebagai inisiatif baharu yang akan menyatukan pelbagai perkhidmatan berkaitan pekerjaan di bawah satu bumbung.  

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata, selain Sabah, tiga lagi pusat sehenti perkhidmatan pekerja dirancang akan ditubuhkan di Pulau Pinang, Lembah Klang dan Johor Bahru sebagai projek perintis.

Katanya, penubuhan pusat di Sabah menandakan langkah terkini ke arah peluasan inisiatif itu ke seluruh negara dan berharap pusat sehenti berkenaan dapat direalisasikan dalam beberapa bulan akan datang.  

“Kita akan wujudkan satu pusat sehenti di Sabah. Semua isu pekerja, sama ada 

Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Jabatan Perhubungan Perusahaan Malaysia (JPPM), 

Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Malaysia (JHEKS), PERKESO, dan sebagainya boleh dirujuk di satu tempat sahaja dan tidak perlu lagi pekerja berulang-alik ke pelbagai pejabat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mengadakan lawatan kerja ke Sabah Medical Services Union (SMSU) baru-baru ini.

Lawatan itu adalah sebagai sebahagian daripada usaha berterusan KESUMA untuk mendekati golongan pekerja serta memperkukuh perlindungan dan kebajikan pekerja di seluruh negara. 

Steven turut merakamkan penghargaan kepada SMSU yang telah berkhidmat selama lebih 60 tahun dalam memperjuangkan kebajikan pekerja, khususnya dalam sektor kesihatan Sabah. 

Beliau menyifatkan ahli-ahli SMSU sebagai ‘hero barisan hadapan’ yang banyak berkorban semasa pandemik COVID-19. 

Selain itu, Steven berkata, antara pencapaian utama KESUMA ialah kelulusan Ordinan Buruh Sabah dan Ordinan Buruh Sarawak yang telah tertangguh lebih 20 tahun, dan akhirnya berjaya diluluskan oleh Parlimen pada tahun lalu. 

Katanta, langkah itu membolehkan penyelarasan hak dan perlindungan pekerja di seluruh negara. 

“Kita tidak boleh membiarkan pekerja di Sabah dan Sarawak terus ketinggalan dari segi perlindungan. Maka, kejayaan meminda ordinan-ordinan ini bukanlah hasil usaha saya seorang, tetapi merupakan usaha bersama – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), kesatuan-kesatuan sekerja, Kerajaan Negeri serta pegawai- pegawai KESUMA termasuk Pengarah JTK Sabah, Wan Zulkifli Wan Setapa yang tidak pernah berhenti memperjuangkan perkara ini,” katanya.

Akta Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2025 dan Akta Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2025 telah berkuatkuasa bermula pada 1 Mei 2025, kecuali Bahagian IVA iaitu peruntukan khas berkaitan standard minimum perumahan, penginapan dan kemudahan pekerja. 

Dalam perkembangan lain, Steven turut berasa gembira dengan kejayaan penubuhan Majlis Penubuhan Buruh Sabah pada 13 Mei 2025, serta mengucapkan tahniah kepada Presiden SMSU, Ajulahin Japin, dan Setiausaha Eksekutif SMSU, Laurence Vun, atas pelantikan mereka sebagai Ahli SLAC pada tarikh tersebut.

Beliau turut memaklumkan bahawa Ajulahin kini juga merupakan Ahli Tetap Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) mulai 1 Mei 2025.  

NLAC adalah merupakan satu platform tiga pihak (tripartite) iaitu majikan, pekerja dan kerajaan yang membincangkan isu-isu berkaitan dasar, perundangan dan amalan perburuhan di negara ini. 

Badan ini membolehkan Menteri Sumber Manusia mendapatkan nasihat, pandangan atau persetujuan mengenai perkara berkaitan perburuhan dan sumber manusia di negara ini.  – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki terlepas hukuman mati, digantikan dengan penjara seumur hidup

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular