KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan (Sabah) [IDS] dan Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC), dengan kerjasama Majlis Perbandaran Sandakan, bakal menganjurkan Program Memperkasa Usahawan Wanita Muda Sabah: Kuasa Wanita, Kuasa Ekonomi pada Rabu, 11 Jun 2025 bertempat di Dewan Serbaguna Libaran, Sandakan.
Program ini merupakan siri jelajah yang kini memasuki lokasi keempat selepas kejayaan penganjurannya di Beaufort, Ranau dan Tenom. Ia bertujuan untuk memperkasakan usahawan wanita muda luar bandar melalui pendekatan terus kepada komuniti sasaran, dengan menyediakan akses kepada sokongan, pembiayaan, dan latihan secara langsung.
Ketua Pegawai Eksekutif IDS, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul berkata, program ini disesuaikan mengikut keperluan dan potensi daerah yang dikunjungi bagi memastikan keberkesanan intervensi.
“Setiap daerah mempunyai konteks pembangunan dan cabaran tersendiri. Oleh itu, program ini dirangka agar pendekatannya dapat disesuaikan secara lebih berkesan dengan keadaan setempat,” jelas beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa peranan wanita dalam menjana ekonomi negeri amat signifikan.
“Wanita merupakan penggerak ekonomi akar umbi yang paling efektif. Mereka mempunyai potensi, kemahiran dan keupayaan besar untuk membantu menjana pembangunan ekonomi Sabah serta merapatkan jurang antara bandar dan luar bandar,” katanya.
Program setengah hari itu bakal mengetengahkan sesi perkongsian pengalaman oleh tokoh industri dan usahawan wanita tempatan, termasuk Masna Osman, Pengasas Nana Puteri Beauty & Wellness, dan Rahimah Asrah, Pengerusi Koperasi Wanita Berjaya Batu Sapi.
Turut diadakan adalah sesi bimbingan berkenaan Skim Pinjaman DAYANG oleh SCC serta pendedahan kepada aspek literasi digital satu keperluan penting dalam pengurusan dan pemasaran perniagaan pada era kini.
Kira-kira 600 wanita muda dari kawasan Libaran dan sekitarnya dijangka menghadiri program ini. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Penyelaras Program, Fiona V. Loijon di [email protected] atau 088-450 500.