BONGAWAN: Tiga deretan bangunan kedai dua tingkat jenis tidak kekal musnah 100 peratus dalam satu kebakaran di Pekan Bongawan dekat sini awal pagi Selasa (10 Jun).

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.38 pagi.
“Kebakaran melibatkan tiga blok bangunan iaitu bangunan pertama terdiri daripada lapan pintu, bangunan kedua dan ketiga masing-masing empat pintu, terbakar sepenuhnya.
“Beberapa buah kenderaan turut terlibat dalam kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seramai 24 anggota dari Balai Bomba Kimanis, Papar dan Beaufort bersama enam jentera dan kenderaan dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman.
Operasi menggunakan tiga aliran sumber air dari jentera dan pili bomba.
Operasi terkawal pada jam 7.30 pagi. Tiada mangsa dilaporkan setakat ini dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Maklumat akan dikemas kini dari semasa ke semasa.