HomeUtamaBekas pegawai RELA dipenjara, didenda, kes tuntutan palsu elaun PKP

Bekas pegawai RELA dipenjara, didenda, kes tuntutan palsu elaun PKP

Read Time:2 Minute, 41 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang bekas pegawai RELA daerah Tenom dijatuhi hukuman penjara 14 hari dan denda RM147,160 atas tujuh pertuduhan mengemukakan dokumen palsu berkaitan tuntutan elaun Penugasan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Venantius Masingga, 63, turut berdepan penjara 21 bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Venantius yang mengaku bersalah terhadap tujuh pertuduhan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga, mendakwa wang yang dituntut bukanlah untuk kegunaan peribadi, sebaliknya untuk membeli bakul makanan kepada anggota RELA Tenom yang terjejas pendapatan semasa PKP.

“Saya tiada niat untuk melakukan kesalahan ini, tetapi terpaksa demi membantu ahli RELA,” katanya yang mendakwa pernah berkhidmat sebagai tentera selama 22 tahun dan sebagai jurulatih jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) selama enam tahun.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua hari dan denda antara RM16,160 hingga RM27,680 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar denda, bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, hakim memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak, menjadikan tempoh keseluruhan hukuman penjara hanya dua hari dan bukannya 14 hari.

Difahamkan, tertuduh gagal membayar denda tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan, Venantius didakwa mengemukakan dokumen tuntutan elaun penugasan PKP atas nama isteri dan anaknya, sedangkan mereka tidak pernah bertugas, dengan niat memperdayakan Pengarah RELA Negeri Sabah.

Venantius melakukan kesalahan itu antara April dan Oktober 2020 di Ibu Pejabat RELA Sabah.

Tertuduh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) Akta sama. Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh menjawat jawatan sebagai pegawai RELA Daerah Tenom sejak tahun 2016 sehingga Mei 2022.

Semasa PKP, tertuduh sebagai pegawai penyemak tuntutan telah memasukkan nama isteri dan anaknya dalam dokumen Tuntutan Elaun Penugasan Pelaksanaan PKP dari bulan April 2020 sehingga Oktober 2020.

Siasatan turut mengesahkan isteri dan anak perempuan tertuduh tidak pernah hadir bertugas dalam tempoh tersebut dan tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tuntutan itu mengandungi butiran maklumat palsu.

Jumlah tuntutan bagi tujuh pertuduhan berjumlah RM 29,432 yang dikreditkan ke dalam dua akaun bank, masing-masing milik anak dan isteri tertuduh, digunakan oleh tertuduh dan keluarganya.

Tertuduh ditahan oleh pegawai SPRM pada 10 Mac 2025.

Terdahulu semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dikenakan kerana ini merupakan kesalahan pertamanya dan beliau telah Insaf.

Tertuduh turut memaklumkan bahawa beliau menghadapi masalah kewangan sehingga tidak mampu melantik peguam, selain menanggung keluarga termasuk anak-anak yang masih bersekolah.

“Isteri saya juga kurang sihat, ibu saya yang sudah tua masih di bawah tanggungan saya. Saya juga masih mempunyai hutang pinjaman bank dan pinjaman TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) yang belum dijelaskan,” katanya.

Pegawai Pendakwa SPRM, Rekhraj Singh, memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

Sementara itu, 11 lagi pertuduhan sama terhadap tertuduh sebelum ini turut diambil kira (TIC) di bawah Seksyen 171A Kanun Tatacara Jenayah.

Sebelum ini, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap 18 pertuduhan melibatkan jumlah tuntutan keseluruhan lebih RM63,000 antara Mac 2020 dan Ogos 2021 di Lokasi yang sama.

LINK TERDAHULU: https://sabahmedia.com/2025/03/14/bekas-pegawai-rela-didakwa-buat-tuntutan-palsu-elaun-pkp-rm63000/

RELATED ARTICLES
Utama

Program “Selangkah Ke Menara Gading 2025 & SMJ Dron 2025” buka...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular