HomeUtamaKTC bangun hab industri RM40 juta di KKIP, sasar RM1.6 bilion pendapatan...

KTC bangun hab industri RM40 juta di KKIP, sasar RM1.6 bilion pendapatan tahunan

Read Time:1 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU: Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC), pengedar barangan pengguna utama di Malaysia Timur, mengumumkan pembelian tanah bernilai RM40 juta di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) untuk membangunkan Taman Perindustrian KTC, hab operasi, logistik dan pembuatan terbesar syarikat itu setakat ini.

Menurut Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau, pelaburan itu dijangka menambah 40 peratus kepada asas operasi semasa syarikat dan melonjakkan pendapatan tahunan kepada sekitar RM1.5 bilion hingga RM1.6 bilion.

“Langkah ini menandakan pencapaian penting dalam pelan pertumbuhan lima tahun kami dan akan memperkukuh kedudukan KTC di pasaran Malaysia Timur,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.

Tambah beliau, lokasi strategik tanah di zon industri KKIP akan menjadi pemacu utama kepada kemajuan masa depan syarikat dalam bidang pergudangan, logistik dan pengangkutan.

“Taman Perindustrian KTC akan menjadi pusat pengedaran FMCG terbesar di rantau ini, meliputi Sabah, Sarawak, Brunei dan Indonesia. Ia akan meningkatkan kecekapan operasi serta melancarkan rantaian bekalan kami,” jelas Dexter.

Beliau turut memaklumkan, KTC kini telah merekodkan pendapatan lebih RM1 bilion setakat pertengahan tahun ini dan bersedia meluaskan operasi dengan keluasan semasa mencecah 500,000 kaki persegi.

“Dengan tanah 15 ekar di KKIP, kita akan tambah pelaburan RM100 juta untuk bangunkan taman ini. Ia dijangka mewujudkan 500 peluang pekerjaan, dan kita akan utamakan pengambilan tenaga kerja tempatan daripada komuniti berpendapatan rendah,” katanya.

Dalam masa sama, Lembaga Pengarah KTC juga meluluskan pelaburan tambahan RM10 juta di Sarawak, yang dijangka menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan 10 peratus di negeri itu dan 40 peratus di Sabah dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

KTC yang kini tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia, menyasarkan jumlah keseluruhan tenaga kerja mencecah 2,000 orang dalam masa setahun di seluruh Malaysia dan Brunei.

RELATED ARTICLES
Utama

Program “Selangkah Ke Menara Gading 2025 & SMJ Dron 2025” buka...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular