KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah telah meluluskan pelaksanaan mekanisme Pelepasan Kos Tidak Berimbang atau Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) bagi tempoh Julai hingga Disember 2025, yang akan menyaksikan tiada surcaj dikenakan kepada semua pengguna elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Keputusan tersebut dibuat berikutan kos penjanaan elektrik yang terkawal, sekali gus tidak memerlukan pengenaan surcaj kepada mana-mana kategori pengguna seperti yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
Mekanisme ICPT merupakan sebahagian daripada rangka kerja Incentive Based Regulation (IBR), yang membolehkan semakan tarif elektrik dilakukan setiap enam bulan berdasarkan perbezaan antara kos penjanaan sebenar dan unjuran kos yang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri bagi tempoh kawal selia tertentu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) hari ini, pelaksanaan ini memberi manfaat menyeluruh kepada semua kategori pengguna termasuk mereka yang dilindungi di bawah Pemegang Lesen Awam Pengagihan.
“Ini bermaksud tiada peningkatan bil elektrik bagi semua pengguna di Sabah dan WP Labuan sepanjang tempoh enam bulan bermula Julai hingga Disember 2025,” jelas kenyataan itu.