Kota Kinabalu : Hampir 100 buah klinik kesihatan daif di negeri ini berjaya dinaik taraf kepada bangunan konkrit bagi memastikan keselesaan para pesakit dan pelawat terjaga.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk James Ratib berkata, jumlah itu direkodkan sepanjang tahun 2023 sehingga tahun ini bagi menambah baik aspek kesihatan di negeri ini.
“Kita telah menyiapkan lebih 100 buah klinik daif yang dibina dengan kayu ditukar dengan konkrit.

“Ini adalah satu perkembangan yang baik untuk negeri ini dalam aspek kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Perasmian Kolokium Kesihatan Awam Sabah Kali Ke-17 di sini pada Rabu.
Dalam pada itu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Dr Maria Suleiman berkata sokongan penuh Kerajaan Negeri telah membantu JKNS untuk mendapat kelulusan peruntukan bagi projek naik taraf tersebut.

“Pada tahun 2023, kerajaan telah memberikan kita sebanyak RM10.8 juta, tahun 2024 kerajaan telah memberi kita RM21.5 juta dan tahun ini kita telah diberi sebanyak RM44 juta untuk membuat klinik-klinik daif ini.
“Kami berterima kasih kepada Datuk James, Exco Kesihatan kita kerana memberi sokongan penuh kepada JKNS dengan menyokong penuh permohonan kami ini,” katanya.
Dalam majlis tersebut, James berharap anggota kesihatan akan terus memberikan perkhidmatan terbaik dan profesional kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang mereka.