Kota Kinabalu : Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) telah menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan bagi aktiviti selam skuba di seluruh negeri.
Ia adalah sebagai langkah penting bagi memperkukuh keselamatan pelancong serta menyokong pelan Tahun Melawat Malaysia 2026 yang bakal tiba.
Presiden Kelab Skuba Sabah, Sim Fui berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif itu dan menyifatkannya sebagai langkah yang sangat tepat pada masanya, khususnya bagi memastikan imej Sabah sebagai destinasi selaman bertaraf dunia terus terpelihara.
“Sabah sememangnya terkenal dengan lokasi selaman yang indah antaranya di Sepanggar, Kota Belud, Kudat, Lahad Datu hinggalah ke Semporna. Menurut Jabatan Perikanan Sabah, industri selam skuba telah menyumbang lebih RM500 juta kepada hasil negeri.
“Jumlah ini merupakan suntikan penting kepada ekonomi Sabah. Namun begitu, adalah membimbangkan sekiranya berlaku kemalangan membabitkan penyelam, lebih-lebih lagi pelancong asing. Oleh itu, pematuhan SOP ini amat penting bagi menjamin keselamatan dan reputasi negeri.”katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Tetap KePKAS Datuk Josie Lai.
Dalam pertemuan itu, Sim berkata, pihak KePKAS telah menekankan bahawa pematuhan terhadap SOP baharu ini perlu diberikan perhatian serius oleh semua pengendali aktiviti selaman dan pemain industri.
Katanya, pihak KePKAS turut mengalu-alukan kerjasama Kelab Skuba Sabah dalam membantu mendidik pihak berkepentingan berhubung SOP tersebut yang dijangka akan diumumkan kepada umum dalam masa terdekat.
“Sebagai sebahagian daripada komitmen tersebut, kelab akan menganjurkan satu Taklimat Keselamatan dan Perubatan kepada semua ahli pada 20 Julai 2025, yang turut akan melibatkan pengenalan kepada SOP baharu tersebut.
“Program ini diadakan susulan beberapa insiden kemalangan maut melibatkan penyelam, yang dikaitkan dengan kecuaian.
“Kami amat mengalu-alukan kerjasama ini dengan KePKAS dan akan memasukkan SOP terkini dalam sesi taklimat keselamatan kami. Dengan penglibatan lebih ramai pemegang taruh, khususnya pengendali yang berurusan terus dengan pelanggan, kami berharap dapat mengurangkan kadar kemalangan selaman sebaik mungkin,” katanya.
Justeru katanya, semua pengendali selam skuba, pengusaha pelancongan dan penyelam rekreasi dijemput hadir bagi mengikuti taklimat dan mendapatkan maklumat terkini berkaitan garis panduan keselamatan. – SABAH MEDIA