Semporna : Pulau Bohey Dulang di Taman Marin Tun Sakaran di sini yang ditutup sementara ekoran ancaman buaya sebelum ini akan dibuka semula kepada orang awam bermula Sabtu ini.
Taman-Taman Sabah (TTS) dalam satu kenyataan memaklumkan, penutupan sementara itu adalah bagi memberi laluan kepada operasi mitigasi ancaman buaya.

Menurut TTS, operasi bersepadu yang dijalankan oleh TTS bersama Jabatan Hidupan Liar, Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta komuniti tempatan itu telah berjaya menamatkan ancaman tersebut dengan penangkapan seekor buaya yang dikenal pasti menjadi punca kebimbangan.
“Keselamatan pengunjung sentiasa menjadi keutamaan kami. Walaupun ancaman utama telah dikendalikan, kerja-kerja pemantauan akan terus dijalankan secara berterusan oleh agensi-agensi berkaitan bagi memastikan tahap keselamatan yang tinggi dikekalkan di kawasan ini,” menurut kenyataan itu di sini pada Khamis.

TTS turut mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat atas kerjasama erat dalam memastikan kawasan pelancongan ikonik ini kembali selamat dikunjungi.
Para pelawat dinasihatkan untuk terus mematuhi garis panduan keselamatan yang ditetapkan ketika berkunjung ke pulau berkenaan. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH PARK