KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di hadapan Puri Warisan Inanam, Jalan Tuaran Bypass, petang Rabu (11 Jun).
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 5.30 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas digerakkan ke lokasi kejadian sejauh tiga kilometer.
Setibanya di lokasi pada jam 5.39 petang, komander operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Lawrence Matusin memaklumkan kejadian melibatkan perlanggaran antara sebuah lori lapan tan dengan sebuah motosikal.
“Mangsa, seorang lelaki berusia lingkungan 40 tahun, didapati tersepit di bawah lori. Bagaimanapun, mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Pemeriksaan lanjut dilakukan oleh anggota bomba bagi memastikan tiada bahaya lain di kawasan kejadian sebelum menamatkan operasi sepenuhnya pada jam 7.30 malam.