HomeUtamaKeyakinan Perniagaan Malaysia Kekal Kukuh di Sebalik Ketidaktentuan Global

Keyakinan Perniagaan Malaysia Kekal Kukuh di Sebalik Ketidaktentuan Global

Read Time:3 Minute, 33 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

Rata-rata komuniti perniagaan masih optimistik dengan mengekalkan sentimen positif terhadap prospek dan prestasi perniagaan, tatkala suasana ekonomi negara dan global yang dihimpit dengan pelbagai cabaran mendesak, antaranya konflik geo-politik dan perubahan iklim.

Baru-baru ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menerbitkan Statistik Kecenderungan Perniagaan Suku Ke-2 2025 atau Business Tendency Statistics Q2 2025. Laporan ini memaparkan jangkaan prestasi perniagaan bagi tempoh masa April hingga September 2025, hasil daripada Survei Kecenderungan Perniagaan untuk pelbagai sektor ekonomi negara.

Secara keseluruhan, komuniti perniagaan menjangkakan persekitaran perniagaan untuk 6 bulan mendatang (April – September 2025) masih menggalakkan, di mana Petunjuk Keyakinan kekal positif pada tahap 2%, menurun sedikit dari 3.2% (Suku Pertama 2025).

Agak membimbangkan, Petunjuk Keyakinan telah merekodkan trend menurun untuk 3 Suku Tahun berturut-turut, sejak Suku Ke-4 2024.

Bagi sektor-sektor ekonomi negara, sektor Perkhidmatan, Pembinaan dan Industri telah merekodkan sentimen optimis. Sektor Industri satu-satunya telah merekodkan peningkatan Petunjuk Keyakinan, dari 0.2% kepada 1.9%. Manakala, walaupun Petunjuk Keyakinan kekal positif, sektor Perkhidmatan telah menurun dari 13.5% kepada 6.9% dan Pembinaan menurun dari 12.5% kepada 4.6%.

Sebaliknya, sektor Perdagangan Borong dan Runcit terus merekodkan sentimen pesimis, dengan Petunjuk Keyakinan -6.7%, walaupun menurun dari -8.1% bagi Suku Pertama 2025.

Di samping itu, 36.2% peniaga menjangkakan peningkatan Hasil Kasar atau Gross Revenue pada Suku Ke-2 2025, manakala 42.1% (tiada perubahan) dan 21.7% (menurun).

Seterusnya, 76.7% peniaga menjangka akan mengekalkan bilangan pekerja, manakala 16.2% akan mengambil lebih ramai pekerja. Hanya 7.1% menjangka akan mengurangkan bilangan pekerja.

Bagi negeri dan wilayah pula, majoriti telah merekodkan sentimen pesimis, di mana Petunjuk Keyakinan terendah telah direkodkan oleh Kelantan (-7.8%). Negeri-negeri ‘maju’ turut merekodkan sentimen pesimis: Pulau Pinang (-5.1%) dan Selangor (-1.2%).

Pulau Pinang dan Pahang terus merekodkan Petunjuk Keyakinan negatif bagi 4 Suku Tahun berturut-turut.

Sabah telah mencatatkan penyusutan sementara dalam Petunjuk Keyakinan, daripada positif 7.5% kepada -0.3% bagi suku ini. Ini merupakan kali pertama Sabah merekodkan bacaan negatif dalam tempoh empat suku tahun, berkemungkinan dipengaruhi oleh faktor luaran dan cabaran operasi semasa.

Namun demikian, asas keyakinan terhadap prospek perniagaan di negeri ini kekal utuh, sebagaimana ditunjukkan menerusi Imbangan Bersih yang masih positif pada kadar 9.6%. Ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memelihara kestabilan ekonomi dan mewujudkan persekitaran kondusif untuk pertumbuhan sektor perniagaan.

Terengganu adalah negeri yang paling optimis, dengan merekodkan Petunjuk Keyakinan tertinggi 18.0%. Negeri-negeri optimis yang lain adalah: Johor (+1.5%), Kedah (+4.3%), Perlis (+3.5%), WP Kuala Lumpur (+0.9%) dan WP Putrajaya (+3.7%).

Hanya Johor dan WP Putrajaya terus merekodkan Petunjuk Keyakinan positif bagi 4 Suku Tahun berturut-turut.

Walau dalam keadaan umum yang masih positif, terdapat kemungkinan berlakunya sedikit penyederhanaan terhadap Petunjuk Keyakinan susulan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang dijadual bermula 1 Julai 2025. Firma penyelidikan CIMB Securities menjangkakan bahawa kesan peluasan ini dijangka tertumpu kepada sektor-sektor tertentu sahaja seperti pembinaan dan kewangan.

Langkah pelaksanaan ini mungkin memberi tekanan sederhana terhadap margin keuntungan pengeluar, dan seterusnya boleh mempengaruhi kuasa beli pengguna sekiranya berlaku pelarasan harga barangan dan perkhidmatan oleh pihak industri.

Ketika ini, rata-rata ramai peniaga mengambil pendirian berhati-hati sambil menanti kesan sebenar ‘perang tarif’ yang diumumkan oleh Amerika Syarikat, di mana Kadar Tarif tinggi yang dikenakan ke atas import dari negara-negara seluruh dunia. Malaysia telah dikenakan Kadar Tarif Asas (10%) dan Kadar Tarif Timbal Balik/Reciprocal Tariff (24%).

Ramai peniaga merasa lega apabila pada awal bulan Mei 2025, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan beberapa langkah proaktif bagi membantu komuniti perniagaan, terutamanya Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), mendepani cabaran semasa. Ini termasuklah meningkatkan jumlah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sebanyak RM1 bilion dan penambahan Dana Pembiayaan Mudah berjumlah RM500 juta.

Tambahan lagi, indikator ekonomi negara telah merekodkan tahap yang begitu memberangsangkan. Antaranya:

– Kadar inflasi negara kekal rendah pada tahap 1.4% bagi bulan April 2025

– Kadar pengangguran negara berada pada tahap 3.0% bagi bulan April 2025, iaitu terendah dalam tempoh masa 10 tahun

Ini membuktikan negara masih memiliki fundamental atau asas ekonomi yang kukuh dan berdaya tahan, bagi mengharungi cabaran semasa. Oleh yang demikian, sebarang kesan daripada pergolakan global dijangka akan memberi sedikit kesan sahaja kepada negara dan rakyat.

RELATED ARTICLES
Utama

Yong Gesa Kerajaan Sabah Gantikan Jabatan Air Dengan Badan Berkanun Baharu...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular