Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Isu pembekuan atau pemegunan elaun doktor yang bertugas di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak bakal dibawa ke perhatian mesyuarat Kabinet oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi pertimbangan sewajarnya.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, cadangan pengecualian itu timbul susulan maklum balas daripada Kerajaan Negeri Sabah yang menyuarakan keprihatinan dihadapi petugas kesihatan di kawasan luar bandar.
“Semua perkara ini telah dibangkitkan. Dalam mesyuarat Kabinet nanti, saya akan membawa isu ini untuk diperhalusi dan disusuli dengan tindakan lanjut,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) di sini, hari ini (12 Jun).
Dalam lawatan tersebut, Dr Dzulkefly turut menyatakan bahawa KKM komited memperkukuh perkhidmatan kesihatan di Sabah melalui pelbagai inisiatif termasuk menangani isu kekurangan kemudahan dan sumber manusia.
“Saya melihat sendiri prestasi dan inisiatif baharu yang sangat baik di hospital ini. Namun, saya juga sedar masih banyak yang perlu dipertingkat, terutama dari segi fasiliti dan penempatan kakitangan kesihatan,” katanya.
Beliau turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Cancer Research Malaysia (CRM) dan KKM bagi pelaksanaan Program Pink Ribbon: Enhanced Navigation Service yang melibatkan enam hospital di Sabah.
Program ini bertujuan meningkatkan pematuhan pesakit kanser terhadap rawatan melalui sistem navigasi pesakit yang terbukti berjaya mengurangkan kadar kegagalan hadir rawatan (default rate) daripada 20 peratus kepada hampir sifar.
“Ini merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan. Dengan bimbingan dan pemantauan rapi melalui Enhanced Navigation Service, pesakit lebih patuh terhadap rawatan dan peluang sembuh juga lebih tinggi,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyaksikan penyerahan 100 unit mesin hemodialisis sumbangan Kerajaan Sabah, yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk James Ratib, untuk diagihkan ke hospital di seluruh negeri.
Dr Dzulkefly memuji usaha kerajaan negeri yang turut menyediakan rawatan dialisis hampir percuma.
“Permintaan terhadap dialisis sangat tinggi, dan sumbangan ini amat bermakna untuk membantu ribuan pesakit buah pinggang di seluruh Sabah,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa cadangan peruntukan hampir RM4 bilion menjelang 2030 telah dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan pelan pemulihan perkhidmatan kesihatan atau catch-up plan membabitkan 24 hospital di Sabah.
Mengenai status pembangunan Pusat Jantung di HQEII, Dr Dzulkefly berkata kerja-kerja awal telah dimulakan dan isu berkaitan tapak kini dalam proses penyelesaian.