HomeUtamaSabah tuan rumah HPPNK 2025 Ogos depan

Sabah tuan rumah HPPNK 2025 Ogos depan

Read Time:1 Minute, 26 Second

Putrajaya : Sabah akan menjadi tuan rumah Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 selama tiga hari bermula 1 Ogos depan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sambutan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu merupakan tahun ke-50 dilaksanakan sejak HPPNK diperkenalkan pada 1975.

Katanya, sambutan yang bertemakan ‘Kudrat Kami Menjamin Pertiwi’ itu akan menonjolkan semangat dan komitmen warga sektor pertanian, penternakan dan perikanan dalam memastikan keterjaminan makanan untuk kesejahteraan rakyat.

“HPPNK adalah acara berprestij yang akan menghimpunkan warga peladang, penternak dan nelayan dari seluruh negara bagi meraikan sumbangan mereka dalam memastikan kecukupan dan keterjaminan makanan serta memacu pembangunan sektor agromakanan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis prapelancaran HPPNK 2025 di sini pada Khamis.

Mohamad berkata, sambutan yang dijangka menarik kedatangan lebih 500,000 pengunjung itu dijadual akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, sebanyak RM100 juta nilai jualan disasarkan pada sambutan itu dengan sebanyak 18 segmen menarik akan diketengahkan menerusi empat fokus utama iaitu Agro Millenia, Cukup dan Terjamin, Sejahtera MADANI, serta Jualan dan Keusahawanan.

Ia termasuklah Jualan Agro MADANI Mega berkonsepkan Makanan Malaysia MADANI yang menawarkan lebih 300 menu makanan termasuk hidangan popular Sabah serta penawaran barangan keperluan harian pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

“Pelbagai pameran dan aktiviti teknologi serta inovasi akan diadakan termasuk pameran teknologi dan kelestarian, segmen tanaman dan padi serta pameran ternakan dan akuakultur,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata keterjaminan makanan akan terus menjadi tumpuan utama kementeriannya dalam mengurangkan kebergantungan kepada import dan menggalakkan pengeluaran tempatan.

Menurutnya, HPPNK bukan sahaja meraikan jasa individu yang berada di lapangan tetapi turut  membuka peluang untuk jaringan strategik, pertukaran ilmu dan prospek perniagaan.

RELATED ARTICLES
Utama

578 ladang di Sabah terima pensijilan myGAP, 34 ladang terima pensijilan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular