HomeUtamaHalang anggota KKM ambil sampel jentik-jentik, peniaga didenda RM3,000

Halang anggota KKM ambil sampel jentik-jentik, peniaga didenda RM3,000

Read Time:1 Minute, 29 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang peniaga didenda RM3,000 atau penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana menghalang seorang penjawat awam menjalankan tugasnya sebagai anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tee Hong Lim, 38, mengaku melakukan kesalahan itu dengan membuang air dalam bekas yang mengandungi jentik-jentik dan tidak memberi kerjasama di sebuah rumah di Taman Seri Kepayan di sini pada 1 Jun lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, majistret Marilyn Kelvin mendengar bahawa seorang Pembantu Pegawai Kesihatan Awam dan Pembantu Khidmat Am telah ke Taman Sri Kepayan bagi menjalankan tugas pencegahan wabak denggi, ekoran dari dua kes demam denggi yang telah dilaporkan di kawasan tersebut.

Semasa pemeriksaan di sekitar rumah tertuduh, pasukan petugas menjumpai dua bekas (tong cat dan bekas penapis) yang berisi air bertakung mengandungi jentik-jentik.

Mereka kemudiannya memaklumkan akan mengambil sampel dalam bekas air yang berisi jentik-jentik tersebut untuk dihantar ke makmal dan meminta maklumat pengenalan diri penghuni rumah tersebut.

Namun tertuduh enggan memberikan kerjasama, lalu membuang semua bekas air yang berisi jentik-jentik. Tindakan tertuduh menyebabkan pasukan petugas tidak sempat mengambil sampel air tersebut.

Dalam kes berasingan, seorang pemandu dilepaskan dengan bon berkelakuan baik selama dua tahun oleh Mahkamah Majistret lain di sini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan kepada seorang pemandu lain.

Majistret Wan Farrah Fariza Wan Ghazali membuat keputusan itu mengikut Seksyen 173A Kanun Tatacara Jenayah terhadap Mahady Sham, yang didakwa menyebabkan kecederaan kepada mangsa di kawasan memunggah unit makanan di sebuah institusi kesihatan di sini, jam 11.46 pagi pada 15 Mei 2024.

Mahkamah menetapkan bon berjumlah RM1,200 dengan seorang penjamin tempatan.

Mahady diwakili peguam Mohamad Syazwan Shah Mohamad Ali.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah perkukuh akses pendidikan berkualiti, lebih 100 pelajar cemerlang diraikan esok

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular