HomeUtama100 mesin hemodialisis tambahan diagih ke hospital dan klinik di Sabah

100 mesin hemodialisis tambahan diagih ke hospital dan klinik di Sabah

Read Time:1 Minute, 43 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) membekalkan sebanyak 100 mesin hemodialisis tambahan untuk diagihkan ke beberapa hospital dan klinik di Sabah, menerusi Skim Bantuan Kesihatan Sabah Maju Jaya (SMJ) ‘Sabah Sejahtera’.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib, berkata jumlah peruntukan keseluruhan skim tersebut adalah sebanyak RM8.5 juta, merangkumi kos rawatan RM4 juta dan pembelian mesin hemodialisis sebanyak RM4.5 juta.

“Sumbangan mesin hemodialisis ini adalah inisiatif KPMKR bagi meringankan beban pesakit buah pinggang peringkat akhir (ESRF) di negeri Sabah, khususnya daripada golongan kurang berkemampuan,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan mesin hemodialisis tersebut.

Simbolik penyerahan telah diadakan di Unit Hemodialisis Hospital Queen Elizabeth II di sini hari ini (12 Jun).

Penyerahan disampaikan oleh James kepada Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau yang juga Exco Kesihatan Sabah menjelaskan, rekod menunjukkan jumlah pesakit ESRF di fasiliti kerajaan negeri Sabah terus meningkat, iaitu daripada 1,831 pesakit pada 2020 kepada 2,133 pesakit pada 2024.

“Dengan peningkatan jumlah pesakit ESRF setiap tahun, kerajaan negeri terus komited untuk menambah baik perkhidmatan rawatan bagi memastikan pesakit mendapat akses rawatan yang mencukupi dan berkualiti.

“Setakat ini, Sabah mempunyai 474 mesin hemodialisis, namun hanya 435 daripadanya berfungsi dengan baik, manakala 39 lagi mengalami kerosakan.

“Selain itu, pesakit yang menerima atau menggunakan perkhidmatan mesin hemodialisis turut dikecualikan daripada bayaran RM13.

“Kerajaan juga memberi subsidi sebanyak RM100 kepada pesakit yang menjalani rawatan kendiri di rumah (CAPD),” katanya.

Dari jumlah keseluruhan 100 unit mesin hemodialisis itu, sebanyak 36 unit mesin dicadangkan untuk diagihkan ke tujuh hospital di bawah Kluster Kota Kinabalu.

Kluster Tawau menerima cadangan agihan sebanyak 20 unit mesin, melibatkan lima fasiliti kesihatan.

Bagi Kluster Sandakan, sejumlah 12 unit mesin diperuntukkan untuk tiga hospital di kawasan berkenaan.

Kluster Keningau pula menerima 12 unit mesin, yang akan diagihkan ke empat fasiliti termasuk hospital dan klinik kesihatan.

Seterusnya, Kluster Beaufort turut menerima 12 unit mesin, melibatkan tiga hospital di kawasan tersebut.

Akhir sekali, Kluster Kota Marudu akan menerima lapan unit mesin hemodialisis, diagihkan ke tiga hospital di kawasan berkenaan.

RELATED ARTICLES
Utama

578 ladang di Sabah terima pensijilan myGAP, 34 ladang terima pensijilan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular