HomeUtamaProgram “Selangkah Ke Menara Gading 2025 & SMJ Dron 2025” buka peluang...

Program “Selangkah Ke Menara Gading 2025 & SMJ Dron 2025” buka peluang pendidikan, pendedahan teknologi pelajar Tawau

Read Time:2 Minute, 16 Second

TAWAU: Usaha memperkasakan pelajar di daerah ini dalam menentukan hala tuju pendidikan dan kerjaya masa depan diteruskan melalui penganjuran Program Selangkah Ke Menara Gading 2025 & SMJ Dron 2025.

Program anjuran Parlimen Tawau dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Konsulat Republik Indonesia Tawau-Malaysia, Pejabat Pendidikan Daerah Tawau serta Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan Daerah Tawau dihadiri lebih 4,000 peserta terdiri daripada
pelajar dan ibu bapa.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata program yang berlangsung hari ini mendapat sambutan baik daripada para pelajar sekolah menengah sekitar daerah Tawau dan Kalabakan yang hadir bagi mendapatkan pendedahan berkaitan institusi pendidikan tinggi dan teknologi terkini seperti dron serta kepintaran buatan (AI).

“Pendidikan merupakan aset negara yang paling bernilai dan program seperti ini mampu memberi panduan kepada para pelajar dalam membuat keputusan bijak berkaitan masa depan akademik dan kerjaya mereka.

“Cabaran besar yang dihadapi pelajar hari ini adalah memastikan mereka tidak tersalah pilih program. Program sebegini penting dalam membantu pelajar memahami kaitan antara bidang pengajian dan prospek pekerjaan,” katanya dalam ucapan perasmian Program Selangkah Ke Menara Gading 2025 & SMJ Dron 2025.

Dalam majlis itu, Mohd Arifin diwakili oleh Timbalan Setiausaha Tetap II, Syahrin Samsir.

Turut hadir Ahli Parlimen Tawau Datuk Loh Su Fui.

Mengulas lanjut, Mohd Arifin turut menekankan bahawa laluan pendidikan bukan hanya tertumpu kepada universiti awam (IPTA), tetapi turut merangkumi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), yang kini diiktiraf sebagai laluan utama oleh kerajaan.

“Terdapat 1,398 institusi TVET di seluruh negara dan kini seramai 430,000 pelajar menuntut di dalamnya. TVET bukan lagi pilihan kedua, malah ada graduan GiatMARA dalam bidang aeroangkasa yang kini memperoleh pendapatan sehingga RM15,000 hingga RM20,000 sebulan bekerja di luar negara seperti Dubai,” katanya.

Dalam masa sama, katanya, pelajar turut diberi pendedahan mengenai penggunaan teknologi dron, yang diklasifikasikan sebagai salah satu cabang kepintaran buatan AI.

Menurut beliau lagi, dron kini digunakan dalam pelbagai sektor termasuk pemadaman kebakaran, pemantauan trafik dan pertanian moden.

Menyentuh aspek bantuan pendidikan, Mohd Arifin menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Sabah sentiasa komited dalam memastikan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah tidak tercicir.

“Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sering menegaskan bahawa kemiskinan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pendidikan.

“Sebanyak 13 jenis bantuan pendidikan telah diperkenalkan termasuk bantuan khas tunai peperiksaan, bantuan Ihsan Tabung Pendidikan Bestari, serta tajaan pendidikan bagi mereka yang mendapat tawaran ke universiti.”

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar satu sesi khas diadakan pada masa akan datang bagi menyebarluaskan maklumat bantuan-bantuan ini kepada pelajar dan ibu bapa.

Katanya, program hari ini bukan sahaja menyasarkan peningkatan pengetahuan para pelajar mengenai hala tuju pendidikan, malah turut membuka mata mereka terhadap realiti industri dan peluang yang tersedia dalam dunia teknologi dan kejuruteraan.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah perkukuh akses pendidikan berkualiti, lebih 100 pelajar cemerlang diraikan esok

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular