Oleh: Wan Azrain Adnan
Dalam usaha memperkukuh struktur ekonomi negeri, Kerajaan Sabah menunjukkan kemajuan ketara dalam agenda pemulihan entiti milik negeri — khususnya menerusi kejayaan awal Sabah Development Bank (SDB).
Pada awal Jun 2025, RAM Ratings (RAM), iaitu firma penarafan kredit ulung negara, telah mengesahkan penarafan AA1/Stable bagi instrumen hutang Sabah Development Bank (SDB). Ini bermakna, SDB berada dalam kategori ‘low default risk’, yang memberi keyakinan kepada pelabur bahawa instrumen kewangannya hampir setanding dengan penerbit bertaraf tertinggi seperti entiti kerajaan persekutuan.
Penarafan AA adalah tahap kedua tertinggi oleh RAM, di mana organisasi berkenaan dinilai memiliki keupayaan kukuh untuk memenuhi obligasi kewangan, serta memiliki daya tahan untuk menghadapi cabaran dan perubahan suasana operasi.
RAM menyatakan bahawa penarafan tersebut diberikan kepada SDB bersandarkan sokongan luar biasa berterusan daripada Kerajaan Sabah, dan tindakan Kerajaan Sabah tidak lama dahulu untuk memulihkan kedudukan kewangan SDB. Tambahan lagi, RAM turut memperakui kedudukan fiskal Kerajaan Sabah yang kukuh, dengan jumlah simpanan atau reserves yang besar, melebihi RM6 bilion.
SABAH DEVELOPMENT BANK
Sabah Development Bank (SDB) ialah sebuah institusi kewangan pembangunan (development financial institution, DFI) milik penuh Kerajaan Sabah. Ditubuhkan pada tahun 1977, antara matlamat utama SDB ialah mendokong agenda pembangunan ekonomi di Sabah dengan menyediakan dana pinjaman kepada pihak yang layak.
Pengesahan penarafan RAM berkenaan membuktikan kejayaan awal Kerajaan Sabah bagi memulihkan kedudukan kewangan SDB. Pada bulan Julai 2024, Menteri Kewangan Sabah telah mendedahkan bahawa SDB merekodkan kerugian kewangan yang besar bagi tahun 2023 dan 2024.
Selain itu, SDB juga menanggung kualiti aset yang teruk, di mana 75% (RM5 bilion) dari jumlah portfolio pinjaman (RM6.6 bilion) adalah pinjaman tidak berbayar (non-performing loans, NPL). Laporan tersebut turut menyentuh isu warisan pengurusan terdahulu yang menjadi punca kerugian, dan bagaimana hala tuju baharu diletakkan untuk membetulkan semula fungsi asal bank pembangunan ini.
Menurut beliau, antara punca kerugian SDB adalah kelemahan tadbir urus, perakaunan kreatif, dan penyediaan peruntukan yang tidak mencukupi (under provision).
Di samping itu, beliau turut mendedahkan bahawa sejumlah RM8 bilion pinjaman diluluskan oleh SDB kepada syarikat-syarikat dari Semenanjung Malaysia dalam tempoh masa 15 tahun (2003–2018). Daripada jumlah tersebut, 95% adalah syarikat yang terlibat di dalam sektor pembangunan hartanah di WP Kuala Lumpur, Selangor dan Johor. Jumlah pinjaman besar tersebut adalah tidak selari dengan matlamat utama SDB untuk mendokong agenda pembangunan ekonomi Sabah.
PEMBEDAYAAN DAN PEMULIHAN SDB
Bermula pertengahan tahun 2023, Kerajaan Sabah telah mengambil langkah pemulihan SDB dengan menyusun semula Lembaga Pengarah dan pengurusan SDB. Salah satu pelantikan utama Lembaga Pengarah SDB ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Prokhas — entiti pemulihan aset milik Kementerian Kewangan — yang memiliki kepakaran dan pengalaman luas di dalam bidang pengurusan dan pemulihan kewangan.
Prokhas ialah sebuah agensi milik penuh Kementerian Kewangan Malaysia, yang menguruskan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan, Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad, DanaInfra Nasional dan Danaharta Nasional.
Sejak itu, SDB telah berjaya mengurangkan obligasi pembayaran bon sebanyak RM2 bilion, dari RM5 bilion (Julai 2023) kepada RM2 bilion (akhir 2024). Nisbah Modal Keseluruhan atau Total Capital Ratio juga telah meningkat dari 7.9% (akhir 2023) kepada 19.6% (akhir 2024).
Pada masa yang sama, bagi menangani isu legasi pinjaman tidak berbayar (NPL) yang sangat tinggi, sebanyak RM965 juta telah diluluskan sebagai penyelesaian bayaran pinjaman dalam tempoh masa 16 bulan (Januari 2024 – April 2025). Sementara itu, sejumlah RM2 bilion sekuriti yang dicagar oleh peminjam telah diletakkan di bawah pengurusan penerima (receivership).
Dengan kedudukan kewangan yang lebih stabil, SDB dapat mengukuhkan peranan mendokong agenda pembangunan ekonomi Sabah dengan menumpukan fokus kepada pembiayaan projek pembangunan di Sabah, terutamanya air, tenaga dan infrastruktur. Dalam tempoh masa 16 bulan (Januari 2024 – April 2025), SDB telah meluluskan pembiayaan pinjaman sebanyak RM1.71 bilion. Tetapi telah menolak permohonan pinjaman sebanyak RM9.39 bilion yang tidak memenuhi standard kredit dan fokus strategik terkini.
PEMANGKIN KEPADA GLC NEGERI YANG LAIN
Kejayaan awal pemulihan SDB boleh menjadi model kepada pemerkasaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah. Usaha pemulihan SDB telah menghasilkan kejayaan dengan sokongan padu Kerajaan Sabah yang meletakkan Lembaga Pengarah dan pengurusan yang cekap, berpengalaman dan berkemahiran. Serta memberikan kebebasan dan ruang kepada SDB untuk membuat keputusan terbaik, tanpa campur tangan yang tidak wajar dari mana-mana pihak.
Rata-rata, banyak GLC di Sabah telah merekodkan kerugian setiap tahun. Pada bulan November 2023, Menteri Kewangan Sabah telah menyatakan bahawa daripada sekitar 100 buah GLC di Sabah, hanya sebahagian kecil sahaja yang memperoleh keuntungan. Lebih banyak GLC Sabah yang rugi daripada yang untung.
Malah, beliau memaklumkan bahawa GLC Sabah berhutang sebanyak RM2.2 bilion kepada Sabah Development Bank (SDB) setakat Suku Ketiga 2023. Malangnya, banyak daripada GLC berkenaan tidak memiliki keupayaan untuk membayar balik pinjaman SDB. Akhirnya, ini melemahkan kedudukan kewangan dan prestasi SDB.
Kelemahan prestasi pencapaian GLC bukan sahaja merencatkan agenda pembangunan Sabah. Bahkan tidak dapat menyumbang kepada hasil pendapatan Kerajaan Sabah. Pada awal tahun 2022, Ketua Menteri Sabah pernah menyarankan bahawa setiap GLC Sabah perlu membayar sekurang-kurangnya RM1 juta setiap tahun sebagai dividen kepada Kerajaan Sabah.
Ini dapat meningkatkan hasil pendapatan Kerajaan Sabah, yang boleh digunakan bagi agenda kesejahteraan rakyat Sabah. Tambahan pula, GLC yang efisien bukan sahaja menjana pendapatan kerajaan negeri, malah mengurangkan kebergantungan fiskal terhadap hasil tradisional seperti komoditi dan tanah.
KUTIPAN GLC
Namun begitu, jumlah dividen yang diterima oleh Kerajaan Sabah masih rendah. Sebagai contoh, pada tahun 2022, Kerajaan Sabah telah menerima dividen berjumlah RM152 juta daripada 15 GLC Sabah dan lima badan berkanun.
Manakala, setakat bulan Oktober 2023, jumlah dividen telah menurun hampir 9% kepada RM138.7 juta, berbanding tahun sebelumnya. Majoriti (66%) dividen tersebut adalah dari empat GLC Sabah: SMJ Sdn Bhd (RM50 juta), Perbadanan Pinjaman Sabah (RM17 juta), KKIP Sdn Bhd (RM12 juta) dan Sabah Energy Corporation (RM12 juta).
Justeru itu, GLC Sabah sediada mesti diperkasa menerusi transformasi yang menyeluruh, agar dapat melaksanakan peranan yang ditetapkan secara efektif dan seterusnya menyumbang kepada agenda pembangunan Sabah. Bukannya terus menerus menjadi bebanan kepada Kerajaan Sabah.
Tiga minggu lepas, Pembantu Menteri Kewangan Sabah dilaporkan berkata bahawa Kerajaan Sabah telah menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan GLC atau GLC Monitoring Committee bagi menambah baik tadbir urus dan prestasi GLC Sabah.
Antaranya, jawatankuasa ini dianggotai oleh pakar perbankan, perundangan dan audit.
Menurut beliau, ketika ini Kerajaan Sabah menyelia 27 syarikat induk dan 22 badan berkanun, dengan merangkumi sekitar 250 syarikat subsidiari dan bersekutu, yang terlibat di dalam sektor utama Sabah seperti perladangan, tenaga dan pembangunan hartanah.
Kejayaan transformasi GLC Sabah akan dapat memenuhi sasaran yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Sabah semasa ucapan penggulungan Belanjawan Sabah 2024, di mana GLC Sabah perlu membayar sekurang-kurangnya dividen sebanyak 10% daripada keuntungan syarikat kepada Kerajaan Sabah. Dengan hala tuju yang lebih jelas dan keazaman politik yang konsisten, pemulihan SDB mungkin menjadi titik tolak kepada lembaran baharu GLC Sabah — ke arah kemakmuran yang lestari.
Sabah Makmur, Rakyat Sejahtera.