KOTA KINABALU: Seorang wanita warga emas berusia 61 tahun mengalami kecederaan selepas kakinya tersepit dalam penutup lubang parit di bahu jalan di Jalan Kionsom, Inanam, malam Ahad (15 Jun).
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.25 malam, sebelum tiba di lokasi kejadian kira-kira tujuh minit kemudian.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Yohanes Sipin, berkata pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas bertindak menggunakan peralatan khas jenis Hydraulic Power Unit untuk mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit dalam lubang penutup parit.
“Mangsa berjaya dikeluarkan dalam masa singkat dan diberikan rawatan awal oleh pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) Jabatan Bomba sebelum dibawa ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.42 malam setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.