Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas kesalahan merompak beg tangan seorang wanita yang mengandungi barangan peribadi milik mangsa.
Tertuduh, Mahadil Hasan, 37, menukar pengakuannya kepada bersalah ketika prosiding yang sepatutnya berlangsung perbicaraan di hadapan Hakim Hurman Hussain, hari ini.
Mahadil didakwa merompak beg tangan milik seorang wanita yang mengandungi resit Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), beg plastik, sijil lahir, dompet, set kunci dan sebuah telefon bimbit dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam, 9 Februari lalu di premis One Stop, Megalong, Penampang.
Mahadil turut menyebabkan ketakutan kepada mangsa ketika kejadian berlaku.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkapan selain memerintahkan Mahadil dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas menjalani hukuman penjara.
Semasa rayuan, Mahadil yang tidak mempunyai pengenalan diri serta tidak diwakili peguam, memohon hukuman diringankan kerana perlu menyara dua orang anak.
Tertuduh juga merayu agar hukuman sebatan tidak dikenakan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal memandangkan kepentingan awam serta trauma yang dialami oleh mangsa.
Katanya, hukuman itu wajar dijadikan pengajaran bukan sahaja kepada Mahadil tetapi juga masyarakat umum.
Mahkamah turut dimaklumkan bahawa kejadian berlaku ketika mangsa sedang berjalan seorang diri untuk pulang ke bilik sewanya sebelum menyedari diekori oleh Mahadil.
Mangsa kemudian memasuki premis Megalong dan pergi ke kedai One Stop untuk meminta bantuan namun ketika itu pekerja di premis berkenaan semuanya wanita.
Mahadil kemudian mendakwa kononnya mangsa adalah isterinya sebelum merampas beg tangan berkenaan dan melarikan diri.
Susulan laporan polis dibuat, Mahadil berjaya ditahan bersama beg tangan tersebut.