Cyberjaya : Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) dilancarkan sebagai salah satu inisiatif strategik Kerajaan bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam berhadapan dengan situasi bencana dan kecemasan di tempat awam.
Inisiatif yang dibangunkan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dilancarkan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil di sini pada Isnin.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, PRIME merupakan sistem komunikasi bersepadu bergerak berasaskan kenderaan yang dilengkapi teknologi satelit, selular, radio dua hala, Wi-Fi dan dron.

Menurut kenyataan itu, sistem PRIME berfungsi sebagai sokongan interim komunikasi yang membolehkan operasi menyelamat, pengurusan bantuan dan penyampaian maklumat dijalankan secara berkesan bersama agensi-agensi berkaitan.
Ini termasuk di kawasan terpencil atau terjejas liputan bersesuaian dengan slogan PRIME iaitu ‘Ketersambungan Tanpa Batasan’
“PRIME berkeupayaan memastikan ketersambungan komunikasi yang stabil, fleksibel dan boleh dipercayai ketika operasi bantuan terutamanya apabila liputan komunikasi rangkaian terestrial sedia ada terganggu atau terhad.
“Pelaksanaan PRIME juga akan memperkukuh kerjasama antara MCMC dengan pelbagai agensi strategik dalam pengurusan bencana dan kecemasan, sekali gus meningkatkan kecekapan tindak balas dan ketahanan komunikasi negara,” menurut kenyataan itu di sini.

Selain itu, PRIME juga turut menyokong program jangkauan komuniti seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai hab digital bergerak yang membolehkan perkhidmatan Internet dipamerkan dan aktiviti komuniti dilaksanakan terus di lokasi sasaran.
Inisiatif ini akan menyumbang kepada pembangunan ekosistem komunikasi yang lebih inklusif dan responsif, serta menjadi pemangkin kepada transformasi digital masyarakat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Sebagai permulaan, tiga unit PRIME akan dibangunkan secara berperingkat.
Unit pertama yang dilancarkan hari ini akan ditempatkan di Ibu Pejabat MCMC bagi menyokong operasi di Semenanjung Malaysia.
Manakala dua lagi unit akan disiapkan menjelang akhir 2025 dan ditempatkan di Pejabat MCMC di Sabah dan Sarawak.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Pengerusi Eksekutif MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din. – SABAH MEDIA / FOTO MCMC