HomePolitikPitas dan Pintasan diyakini kekal kubu kuat Gagasan Rakyat pada PRN17 -...

Pitas dan Pintasan diyakini kekal kubu kuat Gagasan Rakyat pada PRN17 – Masiung

Read Time:1 Minute, 30 Second

PITAS: Dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), Pitas dan Pintasan diyakini kekal menjadi ‘fixed deposit’ Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerusi kekuatan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah, berkata keyakinan itu berdasarkan prestasi cemerlang dan gerak kerja mantap kepimpinan parti di kedua-dua kawasan berkenaan.

“Dengan kekuatan akar umbi yang dimiliki, saya yakin Pitas dan Pintasan mampu menyumbang kemenangan selesa kepada GRS dalam PRN akan datang,” katanya semasa merasmikan Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Pitas, diikuti persidangan bahagian Pintasan di Kota Belud, semalam.

Masiung (dua kanan) menerima cenderahati disampaikan Ruddy selepas merasmikan persidangan tahunan Pitas.

Gagasan Rakyat Bahagian Pitas diketuai Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Dato’ Sri Ruddy Awah, manakala bahagian Pintasan dipimpin Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan.

Masiung turut mengingatkan lebih 2,500 perwakilan yang hadir di Dataran Terbuka Kampung Salimpodon, agar tidak lalai apabila berada di puncak kecemerlangan.

“Tanggungjawab kita bukan sekadar mempertahankan kerusi, tetapi memastikan kemenangan bergaya dengan semangat kerja yang tinggi di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau turut menasihati ahli parti agar meneladani sejarah Perang Badar yang menunjukkan pentingnya kekuatan disiplin dan tidak leka ketika meraih kejayaan.

Sementara itu, semasa merasmikan persidangan Gagasan Rakyat Pintasan, Masiung menegaskan bahawa ahli parti tidak sepatutnya bertindak mengikut acuan sendiri, sebaliknya patuh kepada arahan pucuk pimpinan.

“Kita tidak perlu terlalu sibuk meneka tarikh pembubaran DUN kerana itu adalah hak dan kuasa Presiden parti. Fokus kita ialah kerja di lapangan untuk menjamin kemenangan,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu berkata, Gagasan Rakyat dan GRS semakin kuat apabila terus berdepan pelbagai fitnah serta isu yang dimainkan pembangkang.

“Semakin pembangkang menabur fitnah dan memainkan isu jahat, maka semakin kuat kedudukan Gagasan Rakyat dan GRS yang berperanaan sebagai kerajaan negeri yang memerintah,” tambahnya.

RELATED ARTICLES
Utama

578 ladang di Sabah terima pensijilan myGAP, 34 ladang terima pensijilan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular