Kota Kinabalu: Sabah FC mengumumkan tiga pemain import baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2025/2026 selain beberapa pemain lama yang kembali beraksi membantu skuad The Rhinos.
Tiga pemain import itu adalah penyerang dari Bosnia Herzegovina Ajdin Mujagic; pemain tengah kelahiran Sydney, Australia Dean Pelekanos dan pemain pertahanan kelahiran Australia, Dane Ingham.
Pengumuman pemain baharu ini diumumkan skuad Badak menerusi satu hantaran di laman sosial rasmi Sabah FC di sini pada Ahad.
Mujagic yang berusia 27 tahun itu dilihat sebagai pengganti bagi penyerang Brazil Joao Pedro selain memiliki rekod baik dengan meledakkan 15 gol buat kelab lamanya, NK BSK Bijelo Brdo.
Selain itu, Mujagic juga memiliki rekod jaringan yang baik iaitu 22 gol semasa Bersama NK Zvijezda Gradacac dan TOSK Tesanj.
Pelekanos yang juga bekas pemain Western Sydney Wanderers itu dijangka akan mengisi kekosongan pemain Korea Selatan, Ko Kwang-min dan Telmo Castanheira.
Manakala Ingham yang sebelum ini dari Kelanb Newcastle Jets akan bergandingan dengan dengan Miguel Cifuentes untuk slot bek kanan.
Sementara itu, Sabah FC turut mengumumkan dua pemain tempatan iaitu Badrul Affendy dan Maxsius Musa.
Badrul Affendy, pemain pertahanan kelahiran Penampang itu sebelum ini pernah bersama Sabah FC pada musim 2022 sebelum berhijrah ke PDRM FC.
Beliau mempunyau kepakaran dalam membaca pergerakan lawan serta ketangkasan melakukan ‘clearance’ menjadikan dia salah seorang pemain bertahan yang cukup dipercayai.
Penyerang lincah dari Keningau, Maxsius Musa, yang pernah mewakili pasukan dalam beberapa musim terdahulu termasuk 2023 dianggap sebagai suntikan semangat kepada pasukan. – SABAH MEDIA