Lahad Datu: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Silam terus menzahirkan sokongan penuh kepada kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan mahu beliau terus menerajui Sabah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Silam Datuk Mizma Appehdullah berkata, kekuatan parti turut terletak kepada kesatuan ahli dan bukan pada sentimen perkauman yang memecah-belahkan rakyat.

“Saya ingin memberitahu kepada semua perwakilan yang saya kasihi, Gagasan Rakyat Silam berdiri teguh di belakang Yang Amat Berhormat Datuk Seri Hajiji Noor.
“Gagasan Rakyat Silam mahukan Datuk Hajiji Noor terus memimpin Sabah di masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Silam di Dewan Sri Perdana, di sini.
Tambah beliau, kekuatan bahagian itu semakin kukuh dengan penubuhan 18 cawangan baharu melibatkan keahlian seramai 1,145 orang.
Menurutnya, ia menjadikan jumlah keseluruhan ahli Gagasan Rakyat Silam kini mencecah 9,000 orang.
Sementara itu, Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Seri Azizah Mohd Dun memberi bayangan bahawa Mizma adalah calon paling layak untuk diketengahkan mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi DUN Silam.
“Saya melihat Datuk Mizma sebagai pemimpin wanita yang rajin bekerja, berwibawa dan disenangi oleh semua pihak, bukan sahaja dalam kalangan wanita tetapi juga masyarakat keseluruhan di DUN Silam.
“Kita memerlukan lebih ramai pemimpin wanita muda untuk meneruskan perjuangan yang belum selesai.
“Beliau adalah calon yang wajar dipertimbangkan untuk diangkat bertanding mewakili GRS di DUN Silam,” katanya kepada media selepas merasmikan persidangan tersebut.